Jumaat, 31 Mei 2019 | 11:15am
WAN Daud Wan Hassan menyiapkan tempahan baju raya di rumahnya di Kampung Pasir Hor. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
WAN Daud Wan Hassan menyiapkan tempahan baju raya di rumahnya di Kampung Pasir Hor. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Pasangan OKU gigih siapkan tempahan baju raya

KOTA BHARU: Sepasang suami isteri yang juga orang kurang upaya (OKU) bisu dan pekak gigih menyiapkan tempahan baju raya sepanjang Ramadan.

Mereka yang tinggal di Kampung Pasir Hor, di sini, menerima tempahan lebih 20 pasang baju Melayu dan kemeja daripada pelanggan.

Wan Daud Wan Hassan, 58, berperanan memotong dan menjahit pakaian manakala isterinya, Rohaya Mat Daud, 60, akan membuat kemasan.

Wan Daud berkata, dia menerima tempahan baju Melayu yang ditempah pelanggan tetap sejak awal Ramadan lagi dengan bayaran RM100 sepasang.

“Kami akan menyiapkan tempahan ini bersama-sama tanpa bantuan daripada orang lain. Kebanyakan yang hantar kepada kami adalah pelanggan tetap.

“Saya mementingkan kualiti dan kemasan jahitan bagi memberi kepuasan kepada pelanggan untuk menggayakan baju di pagi Aidilfitri.

“Saya terpaksa hadkan tempahan kerana takut tidak sempat menyiapkannya dan setakat ini hanya menerima tempahan daripada pelanggan tetap,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini.

Temubual dengan Wan Daud dan isterinya menggunakan teks yang ditulis di telefon.

Pasangan berkenaan yang mempunyai tiga anak berusia di antara 23 tahun hingga 35 tahun berkata, komunikasi dengan pelanggannya juga menggunakan pen dan kertas serta aplikasi WhatsApp.

“Walaupun saya dan isteri golongan istimewa, tetapi kami tetap berusaha untuk mencari wang sampingan walaupun sudah menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450.

“Hasil jahitan ini, saya peroleh lebih RM500 sebulan selain sumbangan daripada tiga anak,” katanya.

Sementara itu, Rohaya berkata berbanding tahun sebelum ini, kali ini tempahan agak sedikit memandangkan suaminya terjatuh baru-baru ini sehingga mengalami kecederaan.

“Jadi, disebabkan itu kami tidak berani untuk mengambil tempahan banyak kerana bimbang tidak mampu menyiapkannya memandangkan kami tidak ada pembantu,” katanya.

Berita Harian X