Jumaat, 31 Mei 2019 | 12:44pm
Nor Kintan Abdul Rahman bersama anaknya, Muhammad Alif Nafis Amran ketika ditemui di Maran. - Foto Shahrinnahar Latib

Ibu rayu bantuan bayi jalani pembedahan

MARAN: Seorang ibu memohon sumbangan orang ramai membantu membiayai kos rawatan pembedahan sumbing bibir dan lelangit anaknya yang turut mengalami sindrom Vacterl iaitu pelbagai kecacatan fizikal.

Muhammad Alif Nafis Amran, 1, turut mengalami masalah kesihatan sejak lahir iaitu jantung berlubang, tulang belakang tidak sempurna, masalah buah pinggang, mempunyai satu paru-paru dan tulang tidak sempurna.

Ibunya, Nor Kintan Abdul Rahman, 39, berkata dia pernah bertanya kepada pihak hospital kerajaan dan Institut Jantung Negara (IJN) mengenai pembedahan sumbing Muhammad Alif Nafis, namun doktor memberitahu mereka tidak boleh membuat pembedahan kerana risiko terlalu tinggi berikutan turut mempunyai masalah jantung berlubang.

“Doktor kata bahaya untuk buat pembedahan kerana bimbang anak saya tidak mampu bertahan. Mereka juga tidak mempunyai peralatan mencukupi bagi pembedahan sumbing dialami Muhammad Alif Nafis,” katanya di sini, hari ini.

Suri rumah itu berkata, dia dan suaminya, Amran Tahir, 47, akan cuba membawa kes anaknya itu ke hospital swasta bagi membolehkan anak mereka menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain.

“Saya tidak pasti berapa kos diperlukan untuk pembedahan sumbing anak bongsu saya itu, ramai cakap kos mungkin tinggi, sebab itu saya memohon bantuan orang ramai supaya dapat meringankan beban kami sekeluarga.

“Kami harap orang ramai sudi menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban untuk menanggung kos rawatan Mohammad Alif Nafis kerana kami tidak berkemampuan untuk menyediakan wang yang banyak bagi rawatan,” katanya.

Ibu kepada lima anak itu berkata, dia juga berharap ada pihak sudi berkongsi maklumat hospital swasta yang boleh membuat pembedahan sumbing dengan segera.

“Saya harapkan selepas menjalani pembedahan ini, Muhammad Alif Nafis dapat bercakap dan makan seperti kanak-kanak lain. Sekarang ini hanya boleh makan biskut dan minum susu sahaja,” katanya.

Orang ramai yang mahu membantu Muhammad Alif Nafis boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) (0630029000073905) atau menghubungi talian 010-5775818.

Berita Harian X