Sabtu, 1 Jun 2019 | 6:37pm
JAMBATAN angkat atau draw-bridge di Kuala Terengganu. - Foto Ghazali Kori

Pejalan kaki tak dibenarkan lalu jambatan angkat

KUALA TERENGGANU: Pejalan kaki tidak dibenarkan untuk bersiar-siar di sepanjang laluan jambatan angkat atau ‘draw-bridge’ apabila ia mula dibuka untuk tempoh percubaan bermula jam 7 pagi esok.

Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi negeri, Rosli Latif, berkata orang ramai tidak dibenarkan berbuat demikian atas faktor keselamatan.

“Segala jenis kenderaan beroda termasuk kereta dan motosikal dibenarkan melalui laluan ini. Namun mana-mana kenderaan tidak dibenarkan berhenti dan pengguna jalan raya tidak dibenarkan keluar bersiar-siar di sepanjang ‘draw-bridge’.

“Pejalan kaki tidak dibenarkan menggunakan laluan ini atas faktor keselamatan. Pengunjung yang ingin mengambil gambar boleh melakukannya dari aras tanah di sekeliling jambatan dan bukannya dari aras jambatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Rosli berkata, pembukaan jambatan angkat juga akan memberi manfaat kepada pekerja pejabat yang masih bekerja sebelum cuti perayaan.

“Pada masa sama, operasi pengendalian dan keselamatan laluan akan dapat dipertingkatkan lagi pada waktu siang hari sebagai permulaan,” katanya.

Berita Harian X