Ahad, 2 Jun 2019 | 2:46pm
Jemaah berdoa selepas menunaikan solat hajat yang diimamkan Mohd Nor Hamzah di atas jambatan angkat, malam tadi. - NSTP/Ghazali Kori

Istana Terengganu namakan jambatan angkat

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu menyerahkan urusan pemberian nama untuk jambatan angkat kepada pihak Istana negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman, berkata kerajaan negeri sudah mencadangkan beberapa nama dan dipersembahkan kepada Sultan Mizan Zainal Abidin untuk membuat keputusan.

“Terpulang kepada Tuanku Sultan untuk membuat keputusan,” katanya, selepas majlis solat hajat memohon kelancaran operasi jambatan angkat di sini, malam tadi.

Kira-kira 50 orang menunaikan solat hajat memohon kelancaran operasi jambatan angkat itu bermula jam 10.30 malam tadi.

Solat hajat bertempat di menara mercu tanda ikonik baharu Terengganu itu diimamkan Exco Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah.

Turut menyertai solat hajat itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Mengulas lanjut, Ariffin berkata, kerajaan negeri yakin jambatan sepanjang 683 meter dan terpanjang di dunia itu dapat membantu melonjakkan lagi industri pelancongan Terengganu sekali gus mencapai sasaran kemasukan lima juta pelancong ke negeri ini tahun ini.

Katanya, proses pembinaan jambatan itu sudah siap sepenuhnya dan dijangka akan memulakan operasi penuh pada September tahun ini.

“Selepas komponen pembangunan jambatan angkat itu selesai kerajaan negeri turut merancang untuk mengindahkan kawasan di sekitar mercu tanda baharu ikonik itu,” katanya.

Jambatan angkat itu akan dibuka untuk percubaan dalam tempoh dua minggu mulai 7 pagi ini hingga 17 Jun depan bagi kerja-kerja pentauliahan dan pengujian prestasi jalan dari sudut koordinasi sistem ‘signalling’ di jambatan dengan sistem trafik di kawasan sekitarnya di samping koordinasi sistem penyuraian trafik.

Berita Harian X