Isnin, 3 Jun 2019 | 2:15pm
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin. - NSTP/Amran Hamid
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin. - NSTP/Amran Hamid

Tujuh laluan di Alor Setar sesak teruk

ALOR SETAR: Sebanyak tujuh laluan di bandar raya ini mengalami kesesakan teruk akibat pertambahan jumlah masuk kenderaan ke pusat bandar sempena Aidilfitri pada tahun ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin, berkata jalan-jalan terbabit adalah Jalan Pekan Melayu dan Pekan Cina, Lebuhraya Darulaman (berhadapan pusat membeli belah Aman Central), Jalan Putra dan Jalan Langgar.

“Selain itu, turut mengalami kesesakan adalah Jalan Kuala Kedah, Jalan Langgar (simpang ke Plaza Tol Alor Setar Utara) serta simpang ke Plaza Tol Alor Setar Selatan.

“Jalan-jalan ini adalah laluan utama keluar masuk Alor Setar dan kesesakan ini berlaku apabila ramai yang pulang ke kampung dan mahu membeli belah barang persiapan untuk hari raya.

“Pemantauan dan kawalan lalu lintas akan dilakukan di semua laluan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Rozi berkata, jangkaan waktu puncak kesesakan lalu lintas adalah antara jam 11 pagi hingga 3 petang, jam 5 petang hingga 7 petang serta jam 9 malam sehingga 12 tengah malam.

Justeru, pihak polis menasihatkan supaya pengguna jalan raya merancang perjalanan dan sentiasa mematuhi arahan polis trafik.

“Jangan sesekali meletakkan kenderaan sesuka hati sehingga mengganggu atau menghalang perjalanan lalu lintas.

“Seramai lima pegawai dan 38 anggota trafik Kota Setar akan bertugas bagi melancarkan aliran trafik.

“Selain itu, hanya 10 peratus daripada 700 anggota akan dibenarkan bercuti manakala selebihnya akan bertugas menjaga keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang musim perayaan ini,” katanya.

Berita Harian X