Khamis, 6 Jun 2019 | 1:22pm
Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Lee Kim Shin. - Arkib NSTP
Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Lee Kim Shin. - Arkib NSTP

PBT Sarawak perlu wujudkan 'Bandaraya Persahabatan'

MIRI: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Sarawak perlu mewujudkan ‘Bandar Persahabatan’, dengan PBT di luar negara dalam usaha menggalakkan sektor pelancongan di negeri ini.

Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Lee Kim Shin, berkata melalui pendekatan itu, semua PBT boleh berkongsi maklumat mengenai pendekatan boleh digunakan untuk menjadikan kawasan mereka menarik, cantik dan dapat memikat pelancong.

Katanya, inisiatif Majlis Bandaraya Miri (MBM) menjalinkan kerjasama dengan pihak berkuasa bandaraya Nanning di China mewujudkan ‘Bandaraya Persahabatan’ adalah satu langkah yang bijak.

“PBT perlu berani melakukan sesuatu yang berbeza untuk memastikan Sarawak terus menarik kemasukan lebih ramai pelancong asing berkunjung ke negeri ini.

“Melalui kerjasama berkenaan, PBT dapat berkongsi pengalaman terhadap usaha mewujudkan persekitaran yang unik supaya mampu menarik kehadiran pelancong,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Kim Shin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, berkata setiap PBT perlu kreatif memikirkan pendekatan yang boleh menarik kehadiran pelancong asing.

Beliau menjelaskan walaupun terdapat banyak destinasi pelancongan menarik terdapat di Sarawak, kerjasama yang unik antara PBT di Sarawak mampu meningkatkan kemasukan lebih ramai pelancong.

Katanya, peranan sama diperlukan terhadap agensi pelancongan yang terbabit dalam sektor itu dengan mewujudkan pakej menarik yang tiada ditawarkan di tempat lain.

“Jangan hanya mengharapkan kerajaan mempromosikan Sarawak. Sebaliknya, semua pihak yang terbabit dengan industri pelancongan harus mengambil peranan sama aktif,” katanya.

Berita Harian X