Khamis, 6 Jun 2019 | 2:50pm
Kesukaran mencari hasil tangkapan dan kos turun ke laut yang semakin tinggi adalah punca utama harga ikan semakin mahal. - NSTP/Malai Rosmah Tuah
Antara hasil laut yang boleh didapati di Pasar Besar Kota Kinabalu. - NSTP/Malai Rosmah Tuah
Antara jenis udang kara yang boleh didapati di Pasar Besar Kota Kinabalu. - NSTP/Malai Rosmah Tuah
Antara hasil laut yang boleh didapati di Pasar Besar Kota Kinabalu. - NSTP/Malai Rosmah Tuah

Hasil laut Sabah semakin mahal?

KOTA KINABALU: Sabah sejak sekian lama mendapat jolokan ‘syurga makanan laut’ di negara ini kerana ramai beranggapan harga ikan segarnya murah, termasuk hasil tangkapannya yang banyak berbanding negeri lain.

Bagaimanapun, bagi penduduk dan komuniti nelayan setempat, khususnya di bandar raya ini, keadaan kini sudah banyak berubah berbanding tempoh 10 hingga 20 tahun lalu.

Diakui, harga makanan laut di Sabah masih murah berbanding negeri lain, namun berdasarkan perbandingan tempatan, harganya dilihat semakin mahal berikutan peningkatan pelbagai kos ditanggung nelayan dan peraih.

Ia merangkumi semua jenis makanan laut sama ada dikategorikan sebagai makanan mewah seperti udang harimau dan udang kara atau ‘ikan rakyat’ yang menjadi makanan harian penduduk seperti ikan basung (selayang).

Nelayan, Sulaiman Jusi, 82, dari Kampung Kibagu, Menggatal, berkata kesukaran mencari hasil tangkapan dan kos turun ke laut yang semakin tinggi adalah punca utama harga ikan semakin mahal.

Sulaiman menjual hasil tangkapan menggunakan kaedah kelong di Pasar Besar Kota Kinabalu. - NSTP/Malai Rosmah Tuah

“Biasanya, paling sukar awal tahun kerana ikan memang sangat kurang. Hanya mereka yang menggunakan kaedah tradisi seperti kelong biasanya mendapat hasil agak baik tetapi kita terpaksa terima hakikat harganya tidak lagi murah seperti dulu.

“Kalau 20 atau 30 tahun dulu, apa jenis ikan, udang, sotong atau ketam pun masih boleh diperoleh pada harga di bawah RM10, namun tidak sekarang. Jika ikan ditangkap menggunakan kaedah kelong, saya jual RM20 sekilogram, memang agak mahal tetapi dijamin segar,” katanya.

Sulaiman yang lebih dikenali sebagai Haji Kelong dalam kalangan pelanggannya menjual hasil tangkapan menggunakan kaedah kelong di Pasar Besar Kota Kinabalu, di sini sejak 40 tahun lalu.

Malah, sepanjang tempoh itu, dia merasai perubahan harga dan jumlah ikan didaratkan setiap hari di pasar berkenaan yang semakin mahal dan merosot dengan bekalan ikan turut bergantung dari kawasan lain.

“Kalau dulu hanya ikan ditangkap di laut sekitar Kota Kinabalu dijual di sini, namun sekarang ada yang dibawa dari Sandakan, Tawau dan Kudat. Kebanyakannya dari hasil pukat jerut,” katanya.

Harga makanan laut di Sabah masih murah berbanding negeri lain. - NSTP/Malai Rosmah Tuah

Penjual udang kara, Said Levis menunjukkan antara jenis udang kara yang dijualnya di Pasar Besar Kota Kinabalu. - NSTP/Malai Rosmah Tuah

Penjual sotong, Mamat Abdul Manap, 20, berkata harga ikan kebanyakannya ditentukan berdasarkan bekalan semasa, selain kos turun ke laut ditanggung nelayan dan harga di peringkat borong atau peraih.

“Senang cakap sekarang harga ikan memang sudah mahal, susah mahu dapat harga ikan di bawah RM10 sekilogram kecuali jenis ikan tertentu yang orang tidak suka makan seperti badukang (ikan duri),” katanya.

Berita Harian X