Khamis, 6 Jun 2019 | 3:09pm
Abang Johari bersalaman dengan orang ramai pada Majlis Rumah Terbuka sempena Aidilfitri di Pusat Konvensyen Borneo (BCCK), Kuching. - NSTP/L Manimaran

Ekonomi Sarawak masih berada di tahap baik

KUCHING: Suasana meriah dengan orang ramai bersesak membeli keperluan di pusat beli-belah menjelang sambutan Gawai Dayak dan Aidilfitri menunjukkan keadaan ekonomi negeri ini masih berada di tahap baik.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata ekonomi negeri yang baik disumbangkan oleh suntikan modal dan perbelanjaan awam hasil pembangunan infrastruktur yang tinggi yang masih giat dilaksanakan di negeri ini.

“Menjelang dua perayaan itu, bukan sahaja kompleks membeli belah penuh sesak dengan orang ramai yang mahu membeli barang keperluan tetapi pangkalan feri yang ada juga sesak dengan kenderaan.

“Ramai penduduk luar bandar pergi ke bandar untuk membeli barang keperluan menyambut perayaan. Inilah bukti ekonomi kita masih dalam keadaan baik,” katanya ketika ditemui pada rumah terbukanya sempena Aidilfitri di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini hari ini.

Justeru, katanya, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus meningkatkan usaha untuk memastikan Sarawak berada di landasan terbaik untuk mengukuhkan ekonomi.

Rumah Terbuka Aidilfitri Abang Johari dan isteri, Datin Patinggi Dayang Juma’ani Tuanku Bujang yang diadakan sejak hari pertama Aidilfitri semalam berlangsung meriah dengan kehadiran masyarakat berbilang kaum dan agama seawal jam 9 pagi.

Katanya, keadaan itu memperlihatkan rakyat negeri ini menyambut Gawai dan Aidilfitri bersama-sama yang secara langsung mengeratkan lagi perpaduan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.

Berita Harian X