Khamis, 6 Jun 2019 | 4:55pm
Sebahagian penduduk Orang Asli Kampung Pelug, Gua Musang, meraikan sambutan Hari Raya dengan penuh meriah. - Ihsan Nor Amalina Ismail
Sebahagian penduduk Orang Asli Kampung Pelug, Gua Musang, meraikan sambutan Hari Raya dengan penuh meriah. - Ihsan Nor Amalina Ismail

Pasang lagu raya guna pembesar suara meriahkan suasana

KOTA BHARU: Komuniti Orang Asli di Kampung Pelug, Gua Musang memiliki cara tersendiri, termasuk memasang lagu raya menggunakan sistem pembesar suara bagi menambah kemeriahan sambutan Aidilfitri di kawasan penempatan itu.

Malah, 327 penduduk Orang Asli di kawasan itu turut mengadakan rumah terbuka, selain menziarah dari rumah ke rumah dan bertukar juadah sempena kedatangan Syawal.

Penggerak masyarakat Orang Asli di Kampung Pelug, Nor Amalina Ismail, sejak seminggu lalu, penduduk sudah keluar ke Gua Musang untuk membeli kelengkapan beraya serta bahan mentah menyediakan juadah raya.

“Semua penduduk membuat rumah terbuka dan setiap orang akan saling mengunjungi walaupun berakhir petang raya sekalipun, asalkan semua rumah diziarah. Kanak-kanak yang paling gembira kerana selain dijamu makanan enak, mereka turut diberikan duit raya,” katanya.

Nor Amalina berkata, acara menziarah bermula dari pagi lagi selepas solat Aidilfitri sehingga ke petang atau habis makanan di sesebuah rumah.

Nor Amalina (kiri) meraikan penduduk Orang Asli Kampung Pelug, Gua Musang, pada sambutan Hari Raya. - Ihsan Nor Amalina Ismail
Nor Amalina (kiri) meraikan penduduk Orang Asli Kampung Pelug, Gua Musang, pada sambutan Hari Raya. - Ihsan Nor Amalina Ismail

Nur Amalina juga sudah lima tahun menyambut Aidilfitri di sana kerana suaminya, Mohd Fardhu Angah, 29, adalah penduduk asal di kampung itu dan dari suku kaum Temiar.

Wanita yang berasal dari Pasir Tumboh, di sini meluahkan rasa seronok berada dalam kelompok masyarakat Orang Asli yang sudah dianggap sebagai ahli keluarga sendiri.

“Hari raya pertama semalam saya menyediakan 600 cucuk sate dan mi kari hasil air tangan mentua dan dibantu saya serta suami.

“Seawal jam 5 pagi lagi kami sudah bangkit membakar sate selain membuat persiapan untuk menyambut kedatangan tetamu,” kata ibu kepada dua cahaya mata yang berusia tiga dan lima tahun itu.

Menurutnya lagi, Aidilfitri pertama sudah menjadi satu kemestian buatnya menyambut di rumah mentua, manakala sambutan di Kota Bharu pada hari raya kedua dan seterusnya sebelum kembali pulang ke Kampung Pelug kerana mereka sekeluarga memang menetap di perkampungan Orang Asli itu.

Berita Harian X