Khamis, 6 Jun 2019 | 5:08pm
Mohd Faiz (kiri) bersama isteri Masyitah serta ahli keluarga merakamkan pemandangan indah berlatarbelakangkan jambatan angkat atau ‘drawbridge’ yang menjadi ikon terbaru di Kuala Terengganu. - NSTP/Ghazali Kori

Jambatan angkat terus jadi tumpuan

KUALA TERENGGANU: Cuaca hujan tidak menghalang orang ramai merakamkan pemandangan indah berlatarbelakangkan jambatan angkat yang menjadi ikon terbaru di bandar raya ini.

Tinjauan NSTP mendapati jambatan ikonik itu terus menjadi tumpuan orang ramai bersama ahli keluarga masing-masing yang mengambil gambar di kawasan berkenaan sempena Aidilfitri.

Walaupun hujan, ada pengunjung dilihat masih setia menunggu dalam kereta masing-masing sementara menunggu hujan reda semata-mata mahu mengambil gambar.

Bagi Mohd Faiz Rosdi, 26, yang bekerja di Kuala Lumpur tetapi pulang menyambut lebaran di kampung isterinya di Kampung Tok Jiring, di sini, peluang itu sudah lama dinantikan apabila kisah mengenai jambatan berkenaan viral di laman sosial.

“Memang teringin mahu bergambar di sini. Jika ikutkan mahu datang semalam tetapi sibuk melayan tetamu dan berkunjung ke rumah sanak saudara. Jadi, saya bersama isteri, Masyitah Mohd Junaidi, 26, dan lima ahli keluarga lain mencuri sedikit masa datang ke sini.

“Tidak sangka pula ketika seronok bergambar, hujan mula turun. Namun, kami tetap bergambar sambil memegang payung,” katanya yang berasal dari Selangor.

Sementara itu, Masyitah berkata, sebaik dimaklumkan pembukaan jambatan angkat itu, dia bersama suami memang tidak sabar mahu pulang untuk melihat jambatan itu sendiri.

“Walaupun saya dari Terengganu tetapi ini kali pertama saya bersama suami serta ahli keluarga dapat ke sini memandangkan kami semua bekerja di luar.

“Seronok dapat lihat sendiri jambatan ini. Walaupun projek ini tidak siap sepenuhnya lagi tetapi pemandangan di sini sudah cukup cantik,” katanya yang juga seorang guru.

Pembinaan jambatan unik itu adalah sebahagian daripada projek Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) membabitkan kos RM248 juta dan menjadi mercu tanda ikonik baharu yang pertama seumpamanya di tanah air serta Asia Tenggara.

Jambatan sepanjang 638 meter dengan ketinggian 12.5 meter dari aras laut yang menghubungkan muara selatan di pusat bandar Kuala Terengganu (Tanjung) dan muara utara di Seberang Takir itu adalah komponen dalam pembangunan Pusat Bandaraya Kuala Terengganu (KTCC).

Mula dibina pada Ogos 2014, jambatan angkat terpanjang di dunia itu yang disokong dua menara setinggi 15 tingkat di bahagian kiri dan kanan serta boleh diangkat di bahagian tengah untuk laluan kapal, bakal menjadi satu lagi tarikan pelancong.

Berita Harian X