Khamis, 6 Jun 2019 | 5:46pm
Nor Madiha (kanan) sedang mengajar pelajar OKU membaca Al-Quran di Rumah Ngaji. - NSTP/Adzlan Sidek

Dicakar, ditumbuk cabaran ajar al-Quran

SEREMBAN: Pernah dicakar dan ditumbuk anak orang kurang upaya (OKU) ketika mengaji al-Quran bukan halangan untuk Nor Madiha Zailan, 24, meneruskan niat mengajar kitab suci itu kepada mereka.

Graduan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu mula mengajar di Rumah Ngaji di Rasah Kemayan di sini, sejak September tahun lalu selepas sebulan pusat itu dibuka.

Rumah Ngaji itu mula beroperasi pada Ogos 2018 selepas penyelarasnya, Gharizah Hashim menerima permintaan tinggi supaya membuka kelas untuk anak OKU.

Ini disebabkan sebelum ini Rumah Ngaji hanya memberi tumpuan membantu masyarakat normal untuk membaca dan memahami kandungan al-Quran secara percuma.

Pada awal penubuhan, terdapat seramai 10 anak OKU mengikuti kelas pengajian secara percuma di kediaman dua tingkat yang diwakafkan untuk tujuan amal itu.

Namun, kini ada seramai 19 anak istimewa berusia tujuh sehingga 16 tahun terdiri daripada mereka yang menghidap autisme, kurang upaya intelektual, Sindrom Down, disleksia dan ‘Attention Deficit Hyperactive Disorder’ (ADHD).

Nor Madiha berkata, ketika baru menjadi tenaga pengajar di rumah itu, beliau tercabar kerana perlu berdepan dengan pelbagai karenah anak-anak OKU.

Bagaimanapun, katanya, hasil mengikuti pelbagai aktiviti sukarelawan membabitkan golongan istimewa ketika menuntut di USIM, dijadikan panduan sepenuhnya.

“Pengalaman yang ada saya gunakan sebaik-baiknya dan apabila berdepan dengan anak autisme, saya sudah tahu bagaimana mahu kendalikan mereka.

“Mereka ini paling bijak dan cepat belajar tetapi jika buat perangai, mereka mampu cederakan kita seperti saya pernah dicakar dan ditumbuk.

“Tetapi syukur selepas sembilan bulan menjadi sukarelawan, saya sudah tahu apa perlu dibuat jika berdepan situasi itu. Antaranya meminta mereka berdiri serta beristighfar,” katanya ketika ditemui di sini.

Bagi anak OKU yang lembam pula, katanya, usaha mengajar mengaji lebih mencabar kerana mereka lambat sedikit mengingat.

Namun, katanya, semua cabaran itu mampu diatasi dengan bantuan dua lagi tenaga pengajar yang juga graduan USIM, iaitu Zuliza Nor Huzaini dan Siti Solehah Idris, masing-masing 24 tahun.

“Mengajar mengaji kepada OKU bukan perkara mudah walaupun ada segelintir individu yang mempertikai mengapa anak syurga itu diajar mengaji.

“Tetapi bagi saya, al-Quran bukan untuk mereka yang normal sahaja dan perlu beri peluang kepada mereka untuk sama belajar,” katanya.

Katanya, cara mengajar al-Quran anak istimewa itu juga berbeza apabila mereka diberikan al-Quran digital untuk menghafal terlebih dahulu kemudian diajar untuk mengenal huruf pula.

“Kaedah ini dilihat berkesan kerana jika sebelum ini mereka tidak pernah mengenal al-Quran, kini sudah mampu membaca dan menghafal al-Quran dengan baik.

“Bagaimanapun untuk menghafal sesuatu surah itu, bergantung kepada tahap ingatan mereka kerana ada yang mampu menghafal dalam tempoh seminggu dan ada juga sehingga sebulan,” katanya.

Katanya, kelas mengaji itu hanya dibuka pada setiap Isnin sehingga Khamis dengan dua sesi, iaitu pagi dan petang

Nor Madiha berkata, setiap kali sebelum memulakan kelas mereka akan mengikuti pelbagai aktiviti terlebih dahulu.

Katanya, aktiviti itu termasuk solat, bacaan ruqyah, selawat, senaman untuk otak serta senaman untuk menenangkan anak istimewa itu.

“Saya berbangga dapat membantu mereka belajar mengaji, malah jika ditakdirkan saya mempunyai anak OKU, saya tidak akan teragak-agak mengajar mereka mengaji.

“Saya berharap dengan bantuan saya dan dua lagi rakan, dapat membantu anak istimewa ini mengenal huruf seterusnya mengaji al-Quran dengan baik,” katanya.

Berita Harian X