Jumaat, 7 Jun 2019 | 12:47pm
PASUKAN Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memunggah barangan berupa bekalan makanan bagi dihantar ke mangsa banjir di Long Busang, Belaga, hari ini. - Foto Erika George

Banjir: 1,000 mangsa di Long Busang mula dapat bantuan

BELAGA: Lebih 1,000 mangsa terjejas banjir di Long Busang, di sini menerima bantuan makanan, semalam, sejak penempatan termasuk sebuah sekolah rendah ditenggelami air sedalam dua hingga tujuh meter.

Misi penghantaran bantuan mengalami kesukaran kerana kedudukan kawasan kejadian yang jauh ke hulu, di mana memerlukan masa dua hari perjalanan menaiki bot dari Empangan Hidroelektrik Bakun.

Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak ketika dihubungi, berkata penghantaran bantuan ke lokasi bencana dilakukan pada jam 11.30 pagi, diketuai Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong bersama beberapa agensi berkaitan.

“Melalui bantuan diberikan itu secara tidak langsung membantu meringankan beban ditanggung penduduk terjejas bagi mendapatkan keperluan makanan.

“Antara pihak yang terbabit dalam misi penghantaran bantuan itu membabitkan 11 pegawai dari lima agensi iaitu Pejabat Daerah Bukit Mabong, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pejabat Pendidikan Daerah Belaga,” katanya.

Katanya, kesemua mangsa terjejas kini dipindahkan ke kawasan bukit berhampiran penempatan berkenaan dan semua mangsa berada dalam keadaan selamat.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii, berkata, selain rumah panjang, turut terjejas teruk Sekolah Kebangsaan (SK) Long Busang.

“Banjir yang berlaku ini telah memusnahkan harta benda sekolah dan barang milik penduduk dan ada antaranya terutama bangunan SK long Busang ditenggelami air hampir mencecah ke paras bumbung,” katanya.

Ling Hii berkata, banjir berlaku berikutan hujan lebat melanda kawasan berkenaan sejak malam Isnin lalu.

Berita Harian X