Sabtu, 8 Jun 2019 | 12:24pm

Anak kota 'sewa' suasana kampung raikan Aidilfitri

KUALA LUMPUR: Aidilfitri bagi mereka yang berasal dari susur galur keluarga kota mungkin tidak banyak yang meriah untuk diceritakan menurut Farah Aina Fadhil, 35, yang juga anak jati Taman Tun Dr Ismail di sini.

Aidilfitri bagi kebanyakan orang cukup sinonim dengan rancangan pulang ke kampung halaman bertemu datuk, nenek serta sanak saudara, namun sayangnya perasaan teruja seperti itu yang tidak pernah dirasai Farah sejak kecil.

“Sejak kecil saya dan adik beradik yang lain selalu cemburu dengan kawan-kawan di sekolah yang bercerita perasaan tak sabar nak balik beraya di kampung, pasang pelita keliling rumah Opah mereka dan bermain bunga api.

“Perasaan ‘kekurangan’ itu semakin kuat apabila mendengar lagu raya ‘Balik Kampung’ dendangan Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad. Saya, abang dan adik-adik selalu turut nyanyikannya, selepas itu masing-masing saling bertanya, balik kampung? ‘mimpilah’,” selorohnya.

Farah Aina berkata, pengalaman menyambut Syawal ketika zaman kecilnya disifatkan ‘biasa-biasa’. Selepas solat sunat Aidilfitri mereka akan berkumpul bersama sanak saudara, bergambar kenangan dan menikmati juadah raya, kemudian berakhir dengan menonton televisyen di rumah sehingga ada yang tertidur.

Disebabkan itu, sejak enam tahun lalu, Farah Aina dan lima adik beradiknya yang masing-masing kini sudah berkahwin merancang menyambut Syawal di ‘homestay’ ala kampung untuk turut merasai kemeriahan Aidilfitri di desa yang jauh dari hiruk pikuk bandar.

“Kami tak ada peluang dan kenangan manis beraya seperti orang lain sewaktu kecil dahulu. Jadi kesian dekat anak kalau melalui pengalaman sama. Kami sepakat cipta saat gembira bersama seluruh keluarga di homestay ala kampung yang berlainan pada setiap tahun.

“Mana tidaknya keluarga kami masing-masing berjodoh dengan pasangan yang berasal dari keluarga orang bandar. Terpaksalah kami ‘sewa’ suasana beraya di kampung. Tahun ini kami akan sambut raya di sebuah homestay di Kampung Morten, Melaka,” katanya.

Tahun-tahun sebelumnya Farah Aina sekeluarga pernah menyambut Aidilfitri antaranya homestay di Umbai, Durian Tunggal, Hulu Langat serta Sungai Buloh.

Selain berpeluang menikmati suasana lebih bermakna dan meriah, percutian Aidilfitri seperti itu menjadi kenangan manis buat anak, memupuk kasih sayang antara sanak saudara dan kian akrab dengan cara memasak juadah Hari Raya bersama-sama, tambahnya.

Pengurus sebuah homestay di Melaka, Mariam Othman berkata setiap menjelang Aidilfitri pihaknya terpaksa menolak permintaan orang ramai untuk menyewa di inap desa miliknya kerana tidak menang tangan.

“Permintaan sangat banyak terutama dari Kuala Lumpur, biasanya dalam kumpulan besar jadi kami hanya boleh menerima satu atau dua tempahan terawal sahaja. Di homestay kami bahang Aidilfitri dirasakan pada malam sebelum Hari Raya lagi.

“Anak kampung berdekatan akan berarak dari rumah ke rumah untuk takbir raya di homestay di sini. Suasana bercahaya dengan hiasan pelita, bermain bunga api dan merebus ketupat sangat mengujakan tetamu yang menginap di sini,” tambahnya. – BERNAMA

Berita Harian X