Ahad, 9 Jun 2019 | 12:55pm
SEORANG gadis trauma apabila terpaksa menerima rawatan di bahagian paha akibat digigit tikus yang menyelinap masuk ke dalam seluarnya, kelmarin. - Foto Ahmad Ismail

Tikus gigit paha gadis

SEGAMAT: Seorang gadis trauma apabila terpaksa menerima rawatan di bahagian paha akibat digigit tikus yang menyelinap masuk ke dalam seluarnya, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, Umirah Mohamad, 19, baharu turun dari kereta selepas menemani ibunya membeli belah di Taman Yayasan, di sini.

Umirah berkata sebelum turun dari kereta, beliau menyingsing bahagian bawah seluar jeans biru yang dipakai kerana terdapat lopak air bersebelahan tempat kenderaan itu di letakkan.

“Namun, sebaik beberapa langkah berjalan menuju ke kedai berhampiran, betis kanan dimasuki sesuatu yang merayap, yang pada mulanya saya sangka hanya seekor cicak.

“Tidak lama kemudian bahagian paha saya terasa perit dan pedih seolah dicakar oleh kuku tajam, menyebabkan saya kembali memasuki kereta dan melondehkan separuh bahagian atas seluar bagi mengetahui puncanya.

“Saya terkejut apabila melihat seekor tikus jantan kelabu sebesar ukuran ibu jari lelaki dewasa sedang menggigit paha saya,” katanya ketika ditemui.

Umirah berkata ibunya turut membantu untuk menghalau tikus itu, namun tikus itu tidak melepaskan gigitan pada kulit pahanya.

“Ibu akhirnya bertindak memicit kepala tikus itu sekuat hati sehingga tidak bernyawa bagi mengelakkan ia terus menggigit paha saya.

“Selepas itu, ibu membawa saya ke Hospital Daerah Segamat (HDS) bagi mendapatkan rawatan dan menerima suntikan di bahagian lengan serta punggung sebelum dibenarkan pulang beberapa jam kemudiannya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Hospital Daerah Segamat, Dr Mokhtar Ahmad, berkata gadis itu diberikan suntikan pencegahan kancing gigi dan dipantau selama beberapa jam sebelum dibenarkan pulang.

Berita Harian X