Ahad, 9 Jun 2019 | 5:01pm
TIMBALAN Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Tengku Zulpuri Shah Raja Puri (kiri) mengambil sampel tadahan air bukit yang digunakan penduduk Orang Asli ketika meninjau masyarakat Orang Asli suku Batek di Kuala Koh. - Foto BERNAMA
TIMBALAN Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Tengku Zulpuri Shah Raja Puri (kiri) mengambil sampel tadahan air bukit yang digunakan penduduk Orang Asli ketika meninjau masyarakat Orang Asli suku Batek di Kuala Koh. - Foto BERNAMA

Kakak, adik maut disyaki kesan air sungai kotor

GUA MUSANG: Masyarakat Orang Asli suku Batek di Kuala Koh menegaskan mereka terpaksa menggunakan air sungai sebagai keperluan asas sehari-hari termasuk untuk minuman dan memasak walaupun tahu ia kotor.

Zeli Shahir Khan, 26, berkata bukan saja sumber air dari anak Sungai Lebir yang berdekatan dengan perkampungan mereka itu kotor, malahan air tadahan dari bukit yang yang digunakan juga mengalami keadaan sama.

Dia mendakwa keadaan itu menyebabkan adiknya, Bella, 16, meninggal dunia dipercayai jangkitan kuman dalam paru-paru kira-kira tiga minggu lalu, dan nasib sama menimpa kakaknya, Shela, 29, dua hari kemudian.

“Mereka pada mulanya mengalami deman panas menyebabkan suhu badan naik mendadak, terutama bahagian kepala sehingga mata kemarahan, selain muntah, pening, sakit tekak serta jantung lemah.

“Mengikut adat, kami jarang membawa sesiapa yang sakit mendapatkan rawatan ke hospital atau klinik, sebaliknya kami akan menggunakan kaedah bomoh.

“Biasanya mereka akan sembuh apabila guna kaedah bomoh, tapi pada kali ini sebaliknya berlaku sehinggalah bekas Tok Batin, Hamdan Keladi dan anaknya berusia 25 tahun meninggal dunia secara tiba-tiba akibat sakit yang sama pada awal bulan lalu,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Zeli berkata, dia tidak mahu membuat tuduhan, namun mengesyaki nasib yang menimpa penduduk kampungnya disebabkan penggunaan air sungai dan air bukit yang tercemar.

Dia yang sudah menetap di kampung itu sejak lapan tahun lalu, berkata air sungai dan bukit mula kotor selepas terdapat aktiviti perlombongan bijih Manganese atau keluli sejak 2016 lalu.

“Sebaik kejadian ini semakin teruk, kami mula berpindah ke kawasan hutan supaya tidak merebak. Namun keadaan sama juga kerana dipercayai kuman sudah merebak ke dalam paru-paru menyebabkan adik dan kakak saya pula jadi mangsa,” katanya.

Seorang lagi penduduk Orang Asli, Osman Halim, 28, berkata sejak menetap di kampung itu, keadaan kali ini lebih teruk berlaku apabila banyak kematian dalam masa terdekat.

“Kami memang hairan dengan apa yang berlaku dan percaya semua ini disebabkan air sungai yang kotor. Lombong bijih keluli ada di atas bukit dan apabila hujan mesti akan mengalir masuk ke sungai,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X