Ahad, 9 Jun 2019 | 6:30pm
FAKRUL Azami (kanan) bermesra dengan adiknya, Muhammad Syahrizal yang mengalami masalah Cerebral Palsy (CP). - NSTP/Ahmad Rabiul Zulkifli

Berat hati berpisah dengan adik untuk belajar di Amerika

MARANG: “Kalau nak diikutkan, berat hati nak berpisah dengan adik. Selama ini, saya yang membantu ibu jaga adik yang istimewa ini,” kata Fakrul Azami Mohd Ayub dari Kampung Lubuk Mandi, Rusila di sini.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA) itu antara penerima biasiswa Pendidikan PETRONAS (PESP) dari Terengganu yang akan melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer di Universiti Michigan, Amerika Syarikat (AS) pada Ogos depan.

Adik bongsunya, Muhammad Syahrizal, 8, mengalami cerebral palsy (CP) sejak lahir.

Berikutan keadaan adiknya itu, Fakrul, 19, menjadi tulang belakang keluarga bagi menguruskan adiknya sejak kecil.

“Saya sayangkan adik dan jika berada di rumah, saya akan mengutamakan kebajikan adik. Bila terpilih melanjutkan pelajaran ke luar negara, saya menjadi serba-salah.

“Bagaimanapun, demi mengejar cita-cita sebagai jurutera perisian komputer dan mengubah nasib keluarga, saya perlu kuatkan hati untuk berpisah sementara dengan keluarga dan adik,” katanya.

Sebelum ini, beliau mengikuti program persediaan sains komputer di Taylor College Subang Jaya.

“Perasaan bimbang dan teruja sama banyak untuk melanjutkan pelajaran ke Amerika. Pelbagai persoalan bermain di fikiran tetapi berharap segala urusan sepanjang empat tahun berada di negara itu berjalan lancar.

“Saya hanya ingin belajar dan membanggakan ibu bapa serta keluarga dan selepas tamat pengajian nanti, saya ingin cepat-cepat bekerja untuk membantu keluarga,” katanya yang pernah menerima Anugerah Teknikal dalam Pertandingan Robotik Olimpiad yang berlangsung di Beijing, China pada 2016.

Fakrul pasti akan merindui keluarganya apabila berjauhan dan dalam tempoh tiga bulan sebelum ke AS, beliau memanfaatkan masa sebaik mungkin bersama keluarga.

“Saya sangat bertuah kerana terpilih sebagai penerima biasiswa itu dan peluang yang diperoleh sekarang ialah rezeki yang tidak ternilai.

“Saya akan memanfaatkan sebaik mungkin peluang dan kepercayaan yang diberikan itu demi mencapai cita-cita,” katanya.

Ibunya, Ramlah Sidek, 46, berkata dia sangat gembira apabila anak sulungnya itu dipilih sebagai penerima biasiswa PESP.

“Melalui bantuan yang ditawarkan PETRONAS, hasrat Fakrul untuk melanjutkan pengajian dalam bidang yang diminati di universiti terkemuka akan tercapai.

“Fakrul ialah harapan keluarga. Apabila dia terpilih melanjutkan pengajian di bawah PESP, ia sesuatu yang sangat dibanggakan.

“Saya yakin dia mampu mencapai impian dan cita-citanya,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar PETRONAS Wilayah Pantai Timur, Wan M Hasnan Abdullah, berkata PETRONAS memperuntukkan RM113 juta tahun ini untuk menaja seramai 300 pelajar cemerlang.

Katanya, pelajar terpilih akan melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang termasuk kejuruteraan kimia, kejuruteraan elektrik, kejuruteraan mekanikal, geofizik, perakaunan dan perundangan.

“Mereka akan ke Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) atau universiti terkemuka di seluruh negara antaranya AS, United Kingdom, Australia, New Zealand dan Kanada,” katanya.

Berdasarkan rekod, PESP membiayai lebih 36,000 pelajar sejak 1975 dengan pelaburan yang bernilai lebih RM3 bilion.

Berita Harian X