Isnin, 10 Jun 2019 | 1:44pm
BADAK sumbu Sumatera dikenali sebagai Tam. - Foto Roy Goh
BADAK sumbu Sumatera dikenali sebagai Tam. - Foto Roy Goh

Bangkai Tam disimpan di Tabin sebelum diawet

KOTA KINABALU: Proses membina semula dan mengawet bangkai badak sumbu Sumatera dikenali sebagai Tam yang mati akibat usia tua dan kegagalan organ dalaman pada 27 Mei lalu akan dimulakan dalam tempoh terdekat.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga, berkata ketika ini bangkai badak jantan berkenaan masih disimpan di pusat penjagaan badak di Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu.

“Bangkai badak itu kini masih disimpan dengan baik di Tabin. Proses membina semula dan mengawet badan haiwan itu mungkin dijalankan di sana atau dibawa ke Kota Kinabalu, bergantung dengan siapa kita bekerjasama untuk menjalankan proses itu.

“Sebelum ini kita pernah bekerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHIILITAN) tetapi bagi proses mengawet badak ini kita mungkin melakukannya dengan kerjasama Muzium Negeri,” katanya, di sini, hari ini.

Semalam, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew mengumumkan bangkai Tam akan dibina semula mengikut saiz asal dan ditempatkan di Muzium Negeri sebagai tarikan pelancongan selain membolehkan orang ramai melihat hidupan liar itu secara dekat.

Augustine berkata, proses membina semula dan mengawet badan badak berkenaan mungkin mengambil masa berikutan saiz badannya yang besar selain perlu dilakukan dengan teliti bagi mengelak sebarang kecacatan.

Tam adalah badak sumbu Sumatera jantan yang terakhir di Malaysia, ditemui di Ladang Kretam, sebuah kawasan perladangan kelapa sawit di Lahad Datu pada 2008, dilaporkan mati akibat usia tua dan kegagalan organ dalaman pada 27 Mei lalu.

Kerajaan negeri kini menumpukan usaha menyelamatkan baka badak sumbu Sumatera di Malaysia dengan kerjasama Indonesia menggunakan benih daripada seekor badak betina dikenali sebagai Iman, iaitu satu-satunya badak sumbu Sumatera yang masih hidup di Malaysia.

Berita Harian X