Rabu, 12 Jun 2019 | 2:13pm
Presiden KATA, Walter Kandayon.

Kadamaian berpotensi jadi destinasi pelancongan luar bandar bertaraf dunia

KOTA BELUD: Persatuan Pelancongan Kadamaian (KATA) meletakkan sasaran 10 tahun untuk menjadikan Kadamaian, di sini sebagai destinasi pelancongan luar bandar bertaraf dunia menjelang 2025.

Presiden KATA, Walter Kandayon, berkata kejayaan menerima Anugerah Pelancongan Berasaskan Komuniti ASEAN di Hanoi, Vietnam awal tahun ini menjadi pendorong untuk terus mempromosikan pelancongan di Kadamaian ke peringkat dunia.

Justeru, beliau menjelskan pihaknya kini memberi tumpuan kepada dua fokus utama ke arah menjayakan sasaran berkenaan iaitu pertama memperkasakan aktiviti pelancongan kepada pengusaha pelancongan, termasuk mengadakan kursus kemahiran yang berkaitan.

“Mulai tahun ini hingga 2023 juga, KATA mengadakan kempen bersih dan indah di semua lebih 60 pusat ekopelancongan di Kadamaian bagi meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya menjaga kebersihan serta keindahan alam sekitar.

“Menjaga kebersihan penting bagi keselesaan pelancong kerana kita mendapati masih ada sampah yang dibuang di bahu jalan oleh pengguna, yang mana menjadi laluan kepada pelancong sebelum tiba ke destinasi.

“Keadaan ini (sampah di bahu jalan) akan memberi rasa tidak selesa kepada pelancong. Bagi kampung yang terbabit sebagai pusat pelancongan, komunitinya amat menekankan kebersihan tetapi yang menjadi masalah ialah pengguna jalan raya yang lain,” katanya ketika dihubungi BH, di sini hari ini.

Pusat Pelancongan Kadamaian di Kota Belud yang terletak kira-kira 85 kilometer dari Kota Kinabalu, mula menerima pelancong sejak lebih empat tahun lalu.

Ia yang terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian memiliki 74 kampung dengan keseluruhannya lebih 35,000 penduduk.

Antara aktiviti riadah disediakan untuk pelancong di Kadamaian ialah meneroka hutan, mendaki bukit (hiking), arung jeram (water rafting) di Sungai Kadamaian, ‘birdwatching’, ‘stargazing’, pelancongan pendidikan dan kebudayaan tradisi.

Mengulas lanjut, Walter berkata anugerah berprestij itu juga pastinya meningkatkan lagi semangat para pengusaha pelancongan di Kadamaian dalam melonjakkan lagi status kawasan tersebut sebagai perintis industri pelancongan luar bandar Sabah.

“Sebab itu, KATA mengadakan kempen bersih dan indah Kadamaian dalam masa lima tahun dengan pembabitan semua masyarakat termasuk kampung yang tidak terbabit dalam pelancongan.

“Kita mengadakan seminar dengan menjemput pakar dalam alam sekitar, yang membabitkan penyertaan komuniti termasuk ketua kampung.

“Setakat ini, penduduk kampung menerima kempeen itu secara positif,” katanya sambil menambah KATA ditubuhkan pada penghujung 2014 bagi menyelaras pengurusan dan aktiviti ahlinya.

Sementara itu, Walter berkata, KATA mensasarkan lebih 150,000 kehadiran pelancong ke pusat pelancongan di Kadamaian pada tahun ini.

“Kadamaian merekodkan kehadiran kira-kira 100,000 pelancong dalam dan luar negara pada 2018, meningkat berbanding 2017 yang mencatatkan kira-kira 80,000 pelancong.

“Selain pelancong dari dalam dan luar negara khususnya negara Eropah yang ramai datang, kita turut memberi tumpuan mempromosikan Kadamaian kepada pelancong dari China dan Korea,” katanya sambil menambah sebanyak 10 peratus pelancong yang datang adalah dari luar negara.

Berita Harian X