Khamis, 13 Jun 2019 | 10:56am
KUANTAN 13 JUN 2019. Sukarelawan Universiti Malaysia Pahang (UMP mengagihkan kelengkapan belajar kepada murid yang terjejas akibat bencana gempa dan tsunami di Palu, Indonesia. NSTP/IHSAN UMP

Siswa UMP syukur dapat bantu mangsa bencana di Palu

KUANTAN: Pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang menyertai misi kemanusiaan menghulur bantuan kepada mangsa tsunami dan gempa bumi di Palu, Indonesia baru-baru ini, bersyukur diberi peluang yang menyuntik keinsafan berkenaan.

Nurul Waheeda Abdu Rahman, seorang daripada lima pelajar berkenaan, berkata misi berkenaan melahirkan rasa keinsafan atas kebesaran Allah SWT serta kesabaran penduduk di lokasi terjejas berdepan musibah dan bencana.

“Saya bersyukur kerana berpeluang menyertai misi ini yang dapat melahirkan rasa keinsafan atas kebesaran Allah serta kesabaran penduduk di sini berdepan musibah dan bencana. Apatah lagi, ini kali pertama mereka menyambut Ramadan lalu dalam situasi sebegini,” katanya.

Ketika di sana, katanya, mereka antara lain mengadakan program bersama anak-anak di lokasi terjejas seperti mewarna, sukaneka, kelas bahasa Inggeris dan aktiviti pembelajaran menggunakan modul akademik yang sesuai.

“Kami juga melakukan aktiviti ‘trauma healing’ kepada anak-anak Desa Bangga di sekolah bagi menghilangkan trauma mereka akibat bencana yang dihadapi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nurul Waheeda berkata, jelas terpancar keseronokan kanak-kanak di kawasan itu menyambut ketibaan sukarelawan Malaysia dan mereka tetap berminat belajar walaupun berdepan kesukaran akibat kekurangan kemudahan.

Sementara itu, Pengarah program, Ezwan Shah Mohd Nordin, berkata misi terbabit digerakkan oleh Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM) dan disertai 16 sukarelawan dari negara ini termasuk lima siswa UMP.

Katanya, misi itu turut mendapat kerjasama Gerakan Pengguna Siswa (GPS) UMP, Persatuan Pelajar Kejuruteraan Kimia (CHEST) dan Yayasan Ibsan serta turut dibantu Relawan Nusantara Palu.

“Kita menyalurkan bantuan dan dana yang dikumpul kepada mangsa tsunami serta gempa bumi sekitar lokasi zon merah, iaitu di Balaroa, Pantai Talise, Petobo, Desa Jono Oge dan Desa Sibalaya.

“Bantuan seperti kelengkapan solat seperti telekung, sejadah, al-Quran, peralatan sekolah seperti buku, pensil, bekas pensil dan sebagainya untuk anak-anak, hasil sumbangan warga UMP turut disampaikan buat anak-anak di kawasan bencana,” katanya.

Katanya, pasukan misi kemanusiaan turut memberi sumbangan barang keperluan asas seperti minyak masak, gula, garam dan beras untuk mangsa yang terjejas teruk akibat bencana berkenaan.

Berita Harian X