X
Khamis, 13 Jun 2019 | 11:32am
LEE Kim Shin
LEE Kim Shin

Menteri minta perbanyak papan tanda bahasa Mandarin

MIRI: Sarawak perlu menyediakan lebih banyak papan tanda dwibahasa terutama dalam bahasa Mandarin untuk menarik kemasukan lebih ramai pelancong China.

Menteri Muda, Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Datuk Lee Kim Shin, berkata langkah itu bertujuan memudahkan pelancong China yang semakin ramai ke Sarawak, memilih destinasi pelancongan menarik untuk dikunjungi.

Beliau berkata, jika terdapat papan tanda dwibahasa, pelancong China akan lebih tertarik untuk datang ke Sarawak dan mencari lokasi yang ingin dikunjungi tanpa sebarang kesukaran untuk berkomunikasi.

“Pakej pelancongan yang ditawarkan juga harus mempunyai terjemahan dalam bahasa asing yang mudah dibaca untuk memudahkan mereka memahami keunikan Sarawak,” katanya ketika mengadakan perjumpaan dengan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini, hari ini.

Beliau berkata, sejak kebelakangan ini, jumlah pelancong China ke Sarawak semakin bertambah berbanding sebelum ini, menerusi promosi berterusan yang dilakukan.

Selain itu, Kim Shin berkata, penyediaan kemudahan jalur lebar tanpa wayar juga harus diperbanyakkan, bukan sahaja di bandar, tetapi juga di luar bandar yang menjadi tumpuan pelancong.

“Pelancong gemar berkongsi keunikan yang mereka lihat menggunakan jalur lebar. Secara tidak langsung ia akan berpotensi sebagai promosi tambahan untuk Sarawak,” katanya.

Berita Harian X