Jumaat, 14 Jun 2019 | 3:06pm
IPOH 14 JUN 2019. Acara Hari Memperingati Perwira Perang Dunia di Tugu Peringatan Perang Dunia di hadapan Stesen KTM Ipoh. STR/BALQIS JAZIMAH ZAHARI

Hari Memperingati Perwira Perang dalam kalendar pelancongan Perak

IPOH: Hari Memperingati Perwira Perang Dunia yang dianjurkan Persatuan Wira Malaysia bakal dimasukkan dalam kalendar pelancongan sebagai acara tahunan di negeri ini, tahun hadapan.

Presidennya, Ravider Kumar Sharma, berkata program kali ke-14 itu diadakan bertujuan memperingati perwira yang terkorban ketika berjuang pada perang dunia dan sekali gus meningkatkan nilai sejarah untuk tatapan generasi baharu.

Katanya, penganjuran program kali ini menerima sambutan menggalakkan apabila disertai 45 bekas tentera dari beberapa negara termasuk New Zealand, Britain, Australia dan Nepal.

"Baru-baru ini kita sudah menemui pihak Exco Pelancongan (Tan Kar Hing) bagi mencadangkan acara ini dimasukkan dalam kalendar pelancongan sebagai acara tahunan.

“Jadi, kita mengharapkan sokongan daripada kerajaan negeri agar kita dapat menganjurkan program ini secara lebih meriah dan besar-besaran pada tahun hadapan,” katanya selepas program berkenaan yang diadakan di Tugu Peringatan Perang Dunia di hadapan Stesen KTM Ipoh di sini, hari ini.

Ravinder berkata, program itu diadakan pada minggu kedua Jun setiap tahun di beberapa lokasi perang dunia antaranya di Ipoh, Kamunting, Sungai Siput dan Batu Gajah.

“Program sebelum ini diadakan dalam skala kecil oleh beberapa persatuan dengan penganjuran program yang diadakan secara berpecah di beberapa lokasi.

“Persatuan kali ini membuat keputusan menganjurkan program di dua lokasi iaitu di tugu peringatan di Ipoh dan Tugu Peringatan Gurkha Batalion Ke-2 Rejimen Renjer Diraja (RRD) Kem Syed Putra, Tambun,” katanya

Menurutnya, persatuan yang ditubuhkan sejak 2004 itu mempunyai seramai 35 ahli yang bergerak secara aktif dan akan menarik golongan muda untuk menyertai program dianjurkan.

Berita Harian X