Jumaat, 14 Jun 2019 | 3:49pm
PENGARAH JPJ Perlis, Shahrul Azhar Md Dali pada sidang media di Ibu Pejabat JPJ Perlis, Arau, hari ini. - Foto Dziyaul Afnan Abdul Rahman

JPJ Perlis lelong kenderaan mewah

ARAU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis akan mengadakan lelongan awam 28 kenderaan, termasuk empat kereta mewah pada 25 Jun ini.

Pengarah JPJ Perlis, Shahrul Azhar Md Dali, berkata daripada jumlah itu, empat motosikal serta kereta klon yang didaftar baharu turut dilelong pada hari berkenaan.

Katanya, kereta berkenaan akan dilelong dengan harga pembukaan pada RM1,500 dan RM50 bagi motosikal.

“Antara kereta yang bakal menjadi tumpuan adalah seunit Mini Cooper S, dua BMW 730i, dan Subaru Impreza selain kereta jenis Honda dan Toyota.

“Pembida yang berminat dengan lelongan berkenaan diminta hadir ke Unit Kewangan JPJ Perlis bagi membeli Dokumen Buku Lelong yang berharga RM70.

“Kemudian pemeriksaan awam akan dibuka kepada mereka pada 18 hingga 20 Jun ini bagi meneliti jenis kereta yang ingin dibida,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat JPJ Perlis di sini, hari ini.

Ketika mengulas mengenai Ops Hari Raya Aidilfitri yang bermula sejak 29 Mei sehingga hari ini, Shahrul Azhar berkata, jumlah kemalangan di Perlis mencatatkan penurunan sebanyak 10.5 peratus berbanding 2018.

“Pada 2018 sebanyak 105 kes dicatatkan untuk tempoh yang sama, namun pada tahun ini hanya 90 kes kemalangan sahaja yang dicatatkan dan lima daripadanya membabitkan kematian.

“Pihak kami juga sudah melakukan pemeriksaan ke atas 311 buah bas ekspres dan hanya seorang pemandu sahaja yang positif dadah jenis kanabis dan kes diserahkan kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK),” katanya.

Berita Harian X