Sabtu, 15 Jun 2019 | 5:04pm
Kumpulan ‘functional fitness’ atau kecerdasan mengikut kegiatan harian, meraikan malim gunung menerusi program ‘Hero Workout of the Day’ (WOD) Malim. - Ihsan Dr Timothy Cheng
Kumpulan ‘functional fitness’ atau kecerdasan mengikut kegiatan harian, meraikan malim gunung menerusi program ‘Hero Workout of the Day’ (WOD) Malim. - Ihsan Dr Timothy Cheng

WOD Malim kenang jasa malim gunung

KOTA KINABALU: Kumpulan ‘functional fitness’ atau kecerdasan mengikut kegiatan harian, meraikan malim gunung menerusi program ‘Hero Workout of the Day’ (WOD) Malim sebagai mengenang jasa mereka ketika gempa bumi di Gunung Kinabalu pada 2015.

Idea WOD Malim diilhamkan oleh pengasas gim ‘functional fitness’, Dr Timothy Cheng dan jurulatih, Hadie Affendie, kerana mahu pengorbanan malim gunung menyelamatkan nyawa pendaki lain sentiasa diingati menerusi program latihan seumpamanya.

Cheng yang kini menjalani latihan pakar bedah ortopedik, berkata di luar negara, WOD dikaitkan dengan pengorbanan rakyat, kebanyakannya membabitkan anggota tentera.

“Di Malaysia, kita mahu malim gunung sentiasa dikenang rakyat dabn kami berkongsi WOD di laman media sosial kami sendiri selain menerusi Facebook untuk menggalakkan mesyarakat menggabungkannya dalam latihan rutin mereka,” katanya.

Gempa bumi di Gunung Kinabalu pada 5 Jun 2015 dengan kekuatan 5.9 pada skala Richter menyebabkan 18 termasuk empat malim gunung iaitu Robbi Sapinggi, Valerian Joannes, Ricky Masirin dan Joseph Solungin terbunuh.

WOD Malim antaranya merangkumi latihan berlari, naik tangga, panjat tali dan senaman ‘burpee’.

Cheng berkata, pergerakan latihan itu direka sebagai simulasi usaha malim gunung menyelamat pendaki termasuk berjalan untuk membantu, mengangkat ‘stretcher’ dan mendukung orang dewasa di belakang mereka.

“Apabila berpeluh, nafas akan menjadi kuat dan anda rasa seperti berputus asa. Ingatlah orang yang menggadaikan nyawa mereka supaya orang lain dapat hidup.

“Semoga ini akan menjadi penghormatan kepada malim gunung dan kita tidak lupa tarikh 5 Jun 2015,” katanya.

‘Functional fitness’ adalah program latihan berdasarkan ketahanan kardiovaskular/ daya pernafasan, stamina, kekuatan, keanjalan, kelajuan, koordinasi, ketangkasan, keseimbangan dan ketepatan.

Pergerakannya dibentuk berdasarkan kegiatan seharian dan ia membolehkan senaman itu mudah diakses serta dilakukan semua peringkat umur atau tahap fizikal.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X