Selasa, 18 Jun 2019 | 11:34am
PENDUDUK dan kakitangan Unit Vektor Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuantan memungut sampah pada program gotong royong membersih kawasan di Taman Perumahan Balok Pine. STR/Mohd Rafi Mamat
PENDUDUK dan kakitangan Unit Vektor Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuantan memungut sampah pada program gotong royong membersih kawasan di Taman Perumahan Balok Pine. STR/Mohd Rafi Mamat

15 penduduk dikompaun RM7,500 kerana Aedes

KUANTAN: Kira-kira 15 penduduk di Taman Perumahan Balok Pine, di sini, dikenakan kompaun RM500 seorang kerana dikesan membiak jentik-jentik di kediaman mereka.

Pengerusi Kawasan Rukun Tertangga (KRT) Balok Pine, Asbollah Ibrahim, berkata tindakan tegas itu diambil Unit Penguatkuasa Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuantan selepas kawasan terbabit dua kali diwartakan sebagai wabak demam denggi tahun ini.

“Kompaun dikenakan itu diharap dapat memberi kesedaran kepada penduduk supaya sentiasa menjaga kebersihan di kawasan rumah masing-masing.

“Sikap tidak mementingkan kebersihan sesetengah penduduk menyebabkan kawasan perumahan ini dua kali diletakkan sebagai kawasan wabak demam denggi.

“Saya difahamkan, selepas beberapa kali nasihat diberikan kepada penduduk oleh pegawai Unit Vektor PKD supaya menjaga kebersihan, barulah tindakan tegas diambil terhadap mereka,” katanya.

Asbollah berharap tindakan tegas itu dapat memberi pengajaran kepada penduduk taman perumahan yang dihuni kira-kira 1,000 orang membabitkan 261 kediaman.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya juga akan terus mengadakan program gotong-royong bagi membersihkan sampah-sarap yang dilarikan kera memandangkan terdapat hutan bersebelahan taman terbabit.

“Penduduk berharap operasi menangkap kera terus dilakukan Jabatan Perlindungan Hidupan liar dan Taman Negara (PERHILITAN) bagi mengekang pencerobohan haiwan liar itu ke kawasan perumahan,” katanya.

Berita Harian X