Selasa, 18 Jun 2019 | 3:28pm
TIMBALAN Ketua Menteri Sabah, Datuk Jaujan Sambakong (tengah) bersalaman dengan orang ramai ketika Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran kementeriannya dengan kerjasama MPS di Masjid Daerah Sandakan. NSTP/Poliana Ronnie Sidom.

Teliti konsep pembangunan rumah di kawasan setinggan

SANDAKAN: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan akan meneliti konsep pembangunan yang sesuai untuk membina semula rumah di kawasan setinggan yang terbakar.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Jaujan Sambakong, berkata kebanyakan kawasan setinggan yang terbakar di Sabah khususnya di daerah ini, terletak di tepi laut dan tidak sesuai untuk membina rumah pangsa.

Katanya, keluasan tanah juga perlu diambil kira jika merancang untuk membangunkan satu rumah di atas setiap lot tanah.

“Di Sabah, Sandakan antara yang paling banyak kawasan setinggan. Semalam saya lawat Kampung Karamunting yang terbakar, kawasan itu terletak di tepi laut dan tidak sesuai jika dibina rumah pangsa 15 tingkat.

“Jika bina rumah atas tanah, mungkin tanah tidak mencukupi kerana banyak rumah harus dibina, sekali gus memerlukan kita melihat kawasan dan kesesuaian penduduk,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di dewan serba guna Masjid Daerah Sandakan, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, George Hiew Vun Zin; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Ariffin Asgali; Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee dan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Datuk Peter Hii Chang Lik.

Rumah terbuka anjuran Jaujan bersama MPS itu dihadiri kira-kira 1,000 tetamu membabitkan kakitangan kerajaan, pemimpin serta penduduk setempat.

Jaujan berkata, semua agensi di bawah kementeriannya termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah, Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar selain Jabatan Tanah dan Ukur akan bekerjasama merancang jenis rumah sesuai dibina di kawasan setinggan yang terbakar.

Dalam perkembangan lain, Jaujan berkata kementeriannya akan memastikan setiap PBT di negeri ini mengutamakan penambahbaikan kemudahan awam terutama pasar awam yang menjadi tumpuan rakyat.

“Selain usaha kita memastikan taman perumahan cantik, PBT perlu pastikan keperluan rakyat terutama pasar awam berada dalam keadaan baik, bersih, selesa dan mencukupi,” katanya.

Berita Harian X