Selasa, 18 Jun 2019 | 6:47pm
Anggota APM membersihkan kem PLKN Etnobotani Gua Musang dijadikan Pusat Penempatan Sementara (PPS) Orang Asli Kuala Koh. - NSTP/Ihsan APM Gua Musang

Pusat penempatan sementara Orang Asli dibuka

GUA MUSANG: Pusat Penempatan Sementara Orang Asli suku Batek Kampung Kuala Koh di kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Etonobotani, di sini, mula dibuka petang ini.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Gua Musang, Hizani Ibrahim, berkata sembilan orang ditempatkan di kem PLKN berkenaan mulai 3.40 petang selepas mereka menerima saringan kesihatan di Hospital Gua Musang.

Beliau berkata, mereka juga diiringi 20 anggota keluarga yang turut dibenarkan tinggal di kem berkenaan bagi memudahkan urusan berkaitan dengan pesakit itu yang dikuarantin kerana dipercayai menghidap demam campak.

“Kami akan memantau dan mengawasi keadaan mereka, termasuk penyediaan makanan dan keselesaan untuk mereka,” katanya.

Penempatan sementara itu dibuka atas arahan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berikutan penularan penyakit berjangkit demam campak dalam kalangan penduduk kaum itu di Kampung Kuala Koh.

Sejak penyakit itu menular dalam kalangan penduduk kaum berkenaan lebih sebulan lalu, beberapa kematian dan 112 lagi menerima rawatan di Klinik Kesihatan Aring 1, Klinik Kesihatan Chiku 3 dan Hospital Gua Musang.

Hizani berkata, kem PLKN itu boleh memuat lebih 80 orang penduduk kaum itu termasuk mereka yang menerima rawatan saringan bersama anggota keluarga yang mengiringinya.

Beliau berkata, tempoh masa mereka tinggal di kem itu juga belum dapat ditentukan sehingga ada arahan baharu dikeluarkan.

“Kami yakin Orang Asli suku Batek yang diberi peluang tinggal di kem terbabit dapat menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran kerana yang lebih penting mereka selamat,” katanya. – BERNAMA

Berita Harian X