Selasa, 18 Jun 2019 | 7:32pm
PENGERUSI Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohd Solihan Badri (tengah) membuat lawatan ke tapak cadangan laluan pejalan kaki di Tambak Johor. - Foto Hairul Anuar Rahim

Bina laluan pejalan kaki atas Tambak Johor

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri mempertimbang cadangan membina laluan pejalan kaki dilengkapi pendingin hawa di Tambak Johor bagi mengurangkan kesesakan serta meningkatkan keselamatan orang ramai.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohd Solihan Badri, berkata pembinaan laluan bertingkat itu sebahagian usaha pihaknya mengatasi masalah kesesakan dihadapi kira-kira 413,000 pengguna laluan itu sama ada untuk ke Singapura atau memasuki Malaysia setiap hari.

“Buat masa ini, sebenarnya tiada laluan pejalan kaki di bahagian sempadan Malaysia di atas Tambak Johor selepas Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI).

“Bagaimanapun, disebabkan kesesakan teruk setiap hari di atas tambak berkenaan, ramai penumpang bas turun sebelum kenderaan itu tiba di perhentian dan berjalan kaki menuju ke CIQ BSI di atas laluan motosikal bagi menjimatkan masa.

“Keadaan ini berbahaya kerana mereka terdedah kepada kemalangan dengan kenderaan lain, terutama motosikal di atas Tambak Johor,” katanya pada sidang media selepas mendengar taklimat mengenai cadangan pembinaan laluan itu oleh sebuah syarikat konsultan di BSI di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Andrew Chen dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Johor, Mohamad Salleh Abu Bakar.

Mengulas lanjut mengenai cadangan itu, Solihan berkata, laluan dua hala sepanjang 1.2 kilometer dan selebar 3.64 meter itu akan dibina di atas laluan motosikal menggunakan teknologi pembinaan moden yang tidak mengambil masa lama untuk disiapkan.

“Laluan pejalan kaki ini hanya dibina dari BSI sehingga ke tengah tambak membabitkan kawasan di sebelah sempadan Malaysia sahaja dan tidak membabitkan Singapura.

“Kos awal pembinaan laluan berbumbung itu dianggarkan lebih RM15 juta dan kemudahan itu diharap dapat digunakan dalam tempoh dua tahun lagi,” katanya.

Beliau berkata, syarikat konsultan terbabit diminta membuat penambahbaikan terhadap kertas cadangan berkenaan sebelum beliau membawanya untuk dikaji oleh agensi kerajaan termasuk Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), seterusnya dipertimbangkan bagi kelulusan kerajaan negeri.

Berita Harian X