Rabu, 19 Jun 2019 | 3:43pm
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menyampaikan ucapan pada Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama Must Ehsan Development Sdn Bhd bersama Konsortium PNSB-MGB dan Majlis Idaman Warisan serta Majlis Silaturrahim Eidul Fitr 2019 di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, semalam. - Foto BERNAMA

Kerajaan Selangor kecualikan denda cukai petak bangunan strata 3 bulan

SHAH ALAM: Pemilik hartanah berstrata di Selangor kini menikmati tempoh pengecualian denda bayaran cukai petak selama tiga bulan bermula 1 Jun lalu sehingga 31 Ogos ini.

Menteri Besar, Amirudin Shari, berkata dengan pengecualian denda selama tiga bulan itu, pemilik hartanah strata dinasihatkan merebut peluang berkenaan sebelum tempoh tiga bulan itu tamat bagi mengelakkan mereka daripada dikenakan fi denda lewat membayar cukai petak.

Beliau berkata, kerajaan Selangor menguatkuasakan pengenaan fi dan kadar cukai petak bagi skim pembangunan berstrata secara berkomputer di seluruh negeri itu sejak 1 Jun tahun lalu.

Katanya, keputusan itu menjadikan Selangor negeri pertama di negara ini yang menjalankan kutipan cukai petak.

“Pelaksanaan cukai petak bagi skim pembangunan berstrata bertujuan untuk membantu rakyat Selangor menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi oleh pemilik hartanah berstatus strata dengan Perbadanan Pengurusan (MC) yang membabitkan urusan cukai.

“Ini lebih memudahkan pemilik petak untuk melakukan sebarang urusan jual beli bagi hartanah berskim strata, selain mewujudkan akses langsung antara pemilik hartanah membayar cukai secara terus kepada Pejabat Tanah dan Daerah.

“Bersempena bulan Syawal ini, Kerajaan Selangor melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Bilangan 11 Tahun 2019 memutuskan untuk mengecualikan denda bayaran cukai petak yang akan dilaksanakan bagi tempoh tiga bulan bermula dari 1 Jun lalu sehingga 31 Ogos ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Amirudin berkata, pengumuman itu adalah satu bentuk insentif dan hadiah hari raya kepada semua rakyat Selangor yang memiliki hak milik strata, selain menggalakkan pembayaran cukai petak demi kelangsungan pembangunan negeri yang holistik selaras dengan agenda ‘Selangor Maju Bersama’.

Berita Harian X