Rabu, 19 Jun 2019 | 6:35pm
Penduduk Orang Asli suku Batek di Kampung Pasir Linggi bergotong-royong bersih kampung mereka. - NSTP/Ramli Ibrahim
Penduduk Orang Asli suku Batek di Kampung Pasir Linggi bergotong-royong bersih kampung mereka. - NSTP/Ramli Ibrahim

Orang Asli Kampung Pasir Linggi bertindak kuarantin sendiri

GUA MUSANG: Lebih 300 penduduk Orang Asli suku Batek di Kampung Pasir Linggi, dekat Pos Lebir di sini, bersyukur kerana mereka bebas daripada jangkitan demam campak dan sentiasa menjaga kebersihan.

Kebimbangan dengan penularan penyakit berjangkit itu juga menjadikan mereka bersepakat mengambil langkah kuarantin sendiri dengan mengehadkan perjalanan keluar dari kampung itu, khususnya ke Kampung Kuala Koh yang diserang wabak penyakit berkenaan.

Kanak-Kanak Orang Asli suku Batek di Kampung Pasir Linggi diawasi ibu bapa masing-masing. - NSTP/Ramli Ibrahim
Kanak-Kanak Orang Asli suku Batek di Kampung Pasir Linggi diawasi ibu bapa masing-masing. - NSTP/Ramli Ibrahim

Penghulu Kampung Pasir Linggi, Ramli Bebas berkata, walaupun ada penduduk kaum itu mempunyai talian persaudaraan dengan kaum suku Batek di Kampung Kuala Koh, tetapi dinasihatkan jangan menziarah mereka buat sementara waktu ini.

Beliau berkata, mereka tidak dihalang keluar mencari rezeki di hutan tetapi mengehadkan jarak perjalanan iaitu jangan sampai ke sempadan kampung terbabit yang dilanda wabak penyakit berjangkit merbahaya itu.

“Nampaknya, mereka setakat ini mematuhi nasihat itu kerana kita bimbang ada jangkitan penyakit itu yang boleh memudaratkan mereka sendiri,” katanya kepada pemberita selepas program gotong-royong membersih Kampung Pasir Linggi, di sini hari ini.

Gotong-royong membersih kampung itu disertai lebih 100 penduduk di kawasan penempatan Orang Asli itu.

Wabak demam campak di Kampung Kuala Koh sejak lebih sebulan lalu dipercayai menjadi punca beberapa kematian dan 112 orang lagi menerima rawatan di Hospital Gua Musang (HGM) dan klinik kesihatan berhampiran, dengan 37 daripada mereka didapati dijangkiti wabak itu.

Ramli berkata, penduduk Kampung Pasir Linggi juga sudah mengambil langkah segera menerima rawatan apabila merasakan diri tidak sihat.

“Kita buat gotong-royong hari ini juga atas idea dan semangat penduduk itu sendiri kerana mahu jaga kebersihan kampung,” katanya. – BERNAMA

Berita Harian X