Khamis, 20 Jun 2019 | 3:30pm
Anggota APM Kota Setar membantu membersihkan kawasan Kampung yang dilanda ribut dan kejadian pokok tumbang di daerah ini. - Foto ihsan APM
Anggota APM Kota Setar membantu membersihkan kawasan Kampung yang dilanda ribut dan kejadian pokok tumbang di daerah ini. - Foto ihsan APM

Ribut rosakkan 6 rumah, bumbung sekolah

ALOR SETAR: Sejumlah enam rumah rosak teruk selepas bahagian bumbung kediaman itu diterbangkan dalam kejadian ribut di Kuala Kedah di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian antara jam 8 hingga 9 pagi itu, turut mengalami kerosakan bumbung Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Pantai, Kuala Kedah, sehingga menyebabkan pelajar dua kelas terpaksa diarahkan pulang.

Selain itu, kerosakan rumah turut dilaporkan berlaku di Kampung Sala Kechil, Kampung Permatang Bongor, Kampung Sungai Bar, Kampung Alor Pial, Kampung Permatang Gunung, Kampung Kota Rentang.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Setar, Kapten (PA) Mohd Zain Bahrum,berkata pihaknya menerima 14 panggilan kecemasan bermula jam 8.30 pagi memaklumkan kerosakan rumah dan pokok tumbang.

Anggota APM Kota Setar membantu membersihkan kawasan Kampung yang dilanda ribut dan kejadian pokok tumbang di daerah ini. - Foto ihsan APM
Anggota APM Kota Setar membantu membersihkan kawasan Kampung yang dilanda ribut dan kejadian pokok tumbang di daerah ini. - Foto ihsan APM

Katanya, tujuh kejadian pokok tumbang berlaku di Hutan Kampung, Mergong, Anak Bukit, Gunong dan Bukit Pinang.

“Kami turut menerima laporan ribut melanda SK Seri Pantai sehingga dua kelas terpaksa ditutup dan murid diarahkan pulang ke rumah selepas bumbung bangunan sekolah rosak ditiup angin.

“Selain itu, ribut turut merosakkan enam rumah penduduk, namun tiada mangsa dilaporkan cedera atau terpaksa berpindah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, tinjauan di sekitar Kuala Kedah mendapati keadaan kembali tenang dengan penduduk sudah membersihkan kawasan sekitar rumah.

Penduduk, Abdul Hamid Mohamad, 54, berkata dia sedang bersarapan bersama keluarga ketika angin kencang membadai rumahnya.

“Ketika itu saya baharu sahaja bangun tidur dan duduk di dapur bersama isteri sebelum angin kencang melanda kawasan sekitar.

“Mujur rumah kami tidak mengalami kerosakan teruk cuma keadaan di luar rumah menjadi bersepah akibat banyak barangan ditiup angin,” katanya yang menetap di Kampung Sala Kechil.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X