Sabtu, 22 Jun 2019 | 3:16pm
PEGAWAI Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Gua Musang, Hizani Ibrahim (dua dari kiri) meninjau Pusat Penempatan Sementara (PPS) Etnobotani di Gua Musang. - Foto ihsan pembaca
PEGAWAI Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Gua Musang, Hizani Ibrahim (dua dari kiri) meninjau Pusat Penempatan Sementara (PPS) Etnobotani di Gua Musang. - Foto ihsan pembaca

Lebih 100 Orang Asli suku Batek ditempatkan di PPS Etonobotani

GUA MUSANG: Pusat Penempatan Sementara (PPS) Etnobotani, bakal menerima lebih 100 Orang Asli suku Batek dalam masa terdekat.

Ini susulan daripada sembilan lagi Orang Asli keluar dari Hospital Gua Musang (HGM), petang semalam selepas menerima rawatan turut ditempatkan di kem itu.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Gua Musang, Hizani Ibrahim berkata, jumlah yang ditempatkan di PPS juga akan bertambah apabila ada pesakit keluar dari Hospital Kuala Krai (HKK).

“Masih ramai yang menerima rawatan di HKK dan selepas keluar mereka akan di tempat di PPS, termasuk ahli keluarga yang mengiringi pesakit.

“Berdasarkan keputusan sebelum ini setiap pesakit ditetapkan supaya tinggal di PPS selama sekurang-kurangnya 21 hari bagi mengelakkan penyakit terus berjangkit,” katanya.

Hizani berkata, setakat ini sudah 35 Orang Asli dari Kampung Kuala Koh berada di PPS Etnobotani.

Katanya, walaupun mereka sudah keluar dari hospital tetapi perlu menjalani rawatan saringan sekali lagi sebelum ditempatkan di kem itu bagi proses mengawal jangkitan.

“Ada beberapa lagi Orang Asli dan sebilangan besarnya kanak-kanak masih dirawat di Hospital Gua Musang juga akan dipindahkan ke PPS.

“PPS diberi kawalan lebih ketat termasuk rawatan berterusan, kebersihan dan keselamatan,” katanya, di sini, hari ini.

Dalam tragedi jangkitan demam campak itu 15 Orang Asli Kampung Kuala Koh meninggal dunia dan 112 orang lagi menerima rawatan di klinik berhampiran.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X