Isnin, 24 Jun 2019 | 2:41pm
TIMBALAN Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah. - Foto Zaman Huri Isa
TIMBALAN Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah. - Foto Zaman Huri Isa

Guna khidmat penghulu, guru agama beri kesedaran vaksin

KOTA BHARU: Kerajaan negeri akan menggunakan khidmat penghulu dan guru agama bagi memberi kesedaran kepada Orang Asli Suku Batek di Kuala Koh, Gua Musang, mengenai kepentingan mendapatkan suntikan vaksin.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata langkah itu berikutan demam campak yang menyerang penduduk Orang Asli di Kuala Koh disebabkan sebahagian besar mereka tidak menerima suntikan vaksin.

Beliau berkata, sebelum ini, kerajaan sudah melantik penghulu dalam kalangan Orang Asli di kampung berkenaan, selain menempatkan guru agama melalui kerjasama Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK).

“Kita memang sudah melantik penghulu dan guru agama membimbing mereka dalam isu keagamaan. Jadi, melalui mereka ini, kita boleh memberi kesedaran kepada Orang Asli supaya menerima suntikan vaksin bagi mengelak peristiwa ini berulang pada masa drpan.

“Cuma masyarakat suku Batek ini agak berbeza dengan suku lain kerana mereka tidak suka bergaul. Saya difahamkan suku ini juga tidak rapat dengan suku Temiar,” katanya selepas merasmikan hari Sayyidatina Khadijah (HSK) 2019, di sini, hari ini.

Wabak yang melanda masyarakat Orang Asli Suku Batek sejak lebih sebulan lalu itu, meragut nyawa 15 mangsa dari Kampung Kuala Koh, manakala 112 lagi dijangkiti demam campak dan menerima rawatan di klinik berhampiran.

Mohd Amar berkata, kerajaan negeri sentiasa bekerjasama dalam menangani sebarang isu berkaitan Orang Asli, melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X