Isnin, 24 Jun 2019 | 3:46pm
PENGERUSI NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri NIOSH Wilayah Sabah dan Labuan, di Putatan, hari ini. - Foto Malai Rosmah Tuah

NIOSH perluas khidmat rundingan ke Sabah - Lam Thye

PUTATAN: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) memperluaskan khidmat rundingannya ke Sabah sejajar usaha menyediakan lebih banyak perkhidmatan berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) kepada sektor industri di negeri ini.

Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata ia termasuk menyediakan khidmat nasihat analisis keperluan latihan secara percuma bagi menggalakkan lebih banyak organisasi di Sabah melaksanakan sistem KKP yang baik.

Usaha itu, katanya, sebahagian inisiatif yang diambil NIOSH Wilayah Sabah dan Labuan ke arah mewujudkan budaya KKP yang baik dan berintegriti di setiap organisasi swasta dan kerajaan.

“Sebagai sebuah institusi di bawah Kementerian Sumber Manusia, NIOSH bertanggungjawab melaksanakan fungsi berkaitan KKP seperti mengadakan latihan, khidmat rundingan, penyelidikan dan penyebaran maklumat.

“NIOSH Wilayah Sabah dan Labuan juga akan menjadi lebih proaktif dalam membantu organisasi di negeri ini yang memerlukan latihan KKP sesuai dengan tuntutan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri NIOSH Wilayah Sabah dan Labuan, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus NIOSH Wilayah Sabah dan Labuan, Wan Sarman Sakan; Pengurus Bahagian Perniagaan dan Pemasaran NIOSH, Mohd Hussin Abd Salam dan Pengurus NIOSH Certificate Sdn Bhd, Muhammad Fadhil Abu Bakar.

Lam Thye berkata, perkhidmatan rundingan agensi itu yang sebelum ini hanya disediakan di Semenanjung mendapat permintaan menggalakkan, khususnya dalam bidang berkaitan penggunaan bahan kimia dan ergonomik.

Di Sabah, katanya, Sandakan, Lahad Datu dan Tawau merekodkan permintaan tertinggi untuk perkhidmatan rundingan KKP setakat ini.

Sementara itu, beliau berkata, seramai 5,794 pekerja pelbagai sektor industri menyertai 295 kursus berkaitan KKP dianjurkan NIOSH Wilayah Sabah dan Labuan antara Januari hingga Mei lalu berbanding 4,147 peserta menerusi 224 kursus dalam tempoh sama tahun lalu.

“Tiga kursus dikenal pasti dan diberi tumpuan di Sabah, iaitu Kursus Bekerja Selamat di Tempat Tinggi, Kursus Pengendalian Selamat Trak Angsun dan Kursus Pengendalian Selamat Jet Air Bertekanan Tinggi,” katanya.

Selain itu, katanya, NIOSH turut menganjurkan seminar berkaitan pencemaran bunyi sektor industri bagi meningkatkan kesedaran sektor industri terhadap kepentingan aspek KKP pekerja yang terdedah dengan pencemaran itu.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X