Selasa, 25 Jun 2019 | 11:38am

Gangguan bekalan air pulih jam 3 petang

GEORGETOWN: Gangguan bekalan air di beberapa daerah di negeri ini berikutan kejadian paip utama dekat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua pecah petang semalam, akan kembali pulih secara berperingkat mulai jam 3 petang ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP), Datuk Jaseni Maidinsa, berkata pihaknya kini bekerja keras untuk memulihkan bekalan air dalam tempoh 24 jam.

“Kakitangan PBAPP menjalankan kerja pembaikan kecemasan segera namun saluran paip yang rosak berada kira-kira tiga meter di bawah permukaan jalan, bersebelahan struktur bangunan.

“Berikutan itu, kerja pengorekan perlu dilakukan secara berhati-hati untuk mencari dan mengasingkan bahagian saluran paip yang rosak tanpa menyebabkan kerosakan lanjut kepada saluran paip dan bangunan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kerja-kerja pembaikan dijalankan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) untuk memulihkan bekalan air paip yang terjejas selepas paip pecah di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua, loji rawatan air terbesar di Pulau Pinang. Menyebabkan pengeluaran air di loji berkurangan sebanyak 230 juta liter sehari. Pengguna air berdaftar di Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan di tanah besar serta kawasan selatan Pulau Pinang berpotensi terjejas akibat gangguan bekalan tidak berjadual. - Foto Ihsan PBAPP

Kira-kira 200,000 pengguna dikatakan mengalami gangguan bekalan berikutan kejadian paip pecah di loji rawatan air terbesar di Pulau Pinang, petang semalam.

Kejadian itu turut menyebabkan pengeluaran LRA menurun kira-kira 230 juta liter sehari (MLD) dengan peratusan 21.5 peratus hingga menjejaskan perkhidmatan bekalan air.

Beliau yang juga CEO PBA Holdings Bhd (PBAHB) berkata, kerja pembaikan bawah tanah membabitkan saluran paip 1,100 milimeter (mm) termasuk pemotongan, kimpalan dan palam semula saluran untuk memastikan ia kalis air dilakukan kakitangan PBAPP pada jam 1 hingga 5 pagi tadi.

Besi paip yang pecah di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua, loji rawatan air terbesar di Pulau Pinang. Menyebabkan pengeluaran air di loji berkurangan sebanyak 230 juta liter sehari. Pengguna air berdaftar di Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan di tanah besar serta kawasan selatan Pulau Pinang berpotensi terjejas akibat gangguan bekalan tidak berjadual. - Foto Ihsan PBAPP
Berita Harian X