Selasa, 25 Jun 2019 | 2:32pm
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh (kanan) memeriksa Jambatan Angkat (Drawbridge) Kuala Terengganu City Centre. - NSTP/Ghazali Kori

Jambatan angkat dibuka Ogos ini

KUALA TERENGGANU: Jambatan angkat atau ‘drawbridge’ yang menjadi kebanggaan warga Terengganu dijangka dibuka sepenuhnya pada 1 Ogos depan, selepas beberapa kerja penambahbaikan infrastruktur selesai.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Putih, berkata jambatan berkenaan yang dijangka menelan belanja penyelenggaraan dan operasi RM5 juta setahun akan melalui beberapa fasa penambahbaikan.

Beliau berkata, ia termasuk menambah baik keselamatan di kawasan rehat, pembinaan papan iklan, mengatasi masalah hakisan ombak, menyediakan kawasan berhenti dan laluan basikal, selain menaik taraf jalan kepada empat lorong di Seberang Takir.

Katanya, aspek keselamatan di kawasan rehat dan tempat duduk yang agak rendah serta membahayakan akan dinaik taraf dengan pembinaan papan iklan sebagai penghadang bagi menjaga keselamatan pengunjung.

“Selain itu kita juga melihat beberapa kawasan lopak air dan kawasan ternakan atau kandang lembu di sepanjang jajaran jambatan angkat ini yang perlu dipindahkan dan dinaik taraf.

“Untuk kerja naik taraf jalan di jajaran jambatan angkat kepada empat lorong di Seberang Takir yang bermula daripada bulatan di Teluk Ketapang ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud dijangka mengambil sedikit masa berikutan ia akan membabitkan pengambilan tanah penduduk.

“Kita juga mengambil berat risiko hakisan yang mungkin berlaku di sepanjang laluan masuk ke jambatan angkat termasuk berhampiran pantai yang digelar penduduk tempatan sebagai ‘Miami Beach’ di Seberang Takir sepanjang kira-kira satu kilometer.

“Kita akan membina struktur penahan ombak dalam tempoh terdekat dengan kemasukan tender untuk kerja berkenaan pada 1 Julai ini,” katanya selepas melakukan lawatan meninjau perkembangan jambatan angkat di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak.

Beliau berkata, pengurusan jambatan berkenaan akan diserahkan kepada kerajaan Terengganu melalui anak syarikat negeri iaitu TI Properties Sdn Bhd dengan kekuatan 22 kakitangan, untuk semua urusan berkaitan pentadbiran dan penyelenggaraannya.

Sementara itu Dr Mamad berkata, sejajar dengan kos pembinaan jambatan pertama seumpamanya di negara ini dan Asia Tenggara yang menelan kos tinggi iaitu RM248 juta, pihaknya akan memastikan jambatan angkat itu mampu menjana ekonomi penduduk dan kerajaan negeri.

Beliau berkata, kawasan sekitar jambatan angkat itu akan dibangunkan dengan tarikan pelancongan seperti tempat jualan dan memancing, sekali gus mengoptimumkan kewujudan jambatan ikonik baharu di negara ini.

Dalam pada itu katanya, pihaknya juga sedang melihat semula keperluan lapan lampu isyarat yang ada di sepanjang jajaran jambatan angkat yang dibimbangi menyebabkan kesesakan trafik terutama pada waktu puncak dan musim cuti.

“Ketika jambatan ini dibuka sepanjang tempoh percubaan lalu kita dapati ada berlaku masalah kesesakan trafik dan kita akan lihat semula kedudukan dan keperluan lampu isyarat yang banyak di sepanjang jajaran jambatan ini yang boleh mengurangkan masalah itu,” katanya.

Pembinaan jambatan unik sepanjang 638 meter itu adalah sebahagian daripada projek Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan sebahagian komponen dalam pembangunan Pusat Bandaraya Kuala Terengganu (KTCC).

Jambatan dengan ketinggian 12.5 meter dari aras laut yang menghubungkan muara selatan di pusat bandar Kuala Terengganu (Tanjung) dan muara utara di Seberang Takir itu kini menjadi mercu tanda baharu dan tarikan pelancongan ke negeri ini.

Berita Harian X