Selasa, 25 Jun 2019 | 3:51pm
AHLI Parlimen Santubong, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Enam surau, masjid di Santubong dibina Oktober ini

KUCHING: Penantian 10 tahun untuk membina semula enam surau dan masjid di Parlimen Santubong akhirnya terlaksana apabila kerja pembinaannya akan bermula menjelang Oktober ini.

Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata tender bagi pembinaan surau dan masjid itu akan dibuka bermula akhir Jun ini.

“Tender akan dibuka secara berperingkat iaitu satu pada akhir Jun, dua pada Julai dan tiga menjelang Ogos serta September.

“Saya yakin, kerja pembinaannya akan bermula Oktober ini dan ia sesuatu yang menggembirakan bagi penduduk di sekitar Santubong,” katanya selepas taklimat berkenaan status kemajuan projek surau dan masjid di Parlimen Santubong, di sini, hari ini.

Wan Junaidi mengucapkan terima kasih kepada pihak yang komited dalam usaha menyediakan kemudahan tempat beribadah yang baik untuk penduduk Islam di kawasan Santubong.

“Sudah hampir 10 tahun penduduk di sini menanti pembinaan semula surau dan masjid itu.

“Antara yang akan dibina semula dan dinaik taraf ialah di Kampung Rampangi Fasa 1, Kampung Rampangi Fasa 2, Kampung Pulau Salak, Kampung Kudi di Jalan Pasir Pandak, Kampung Semilang dan Beradik, Taman Sepakat Jaya dan Taman Mesra di Bako,” katanya.

Beliau berkata, perancangan untuk membina kesemua surau dan masjid itu sudah dicadangkan sejak 2009, namun berdepan pelbagai cabaran termasuk isu membabitkan pemilihan tapak tanah, pelantikan kontraktor dan sebagainya.

“Setakat ini, kita sudah melaksanakan pembinaan dan kerja naik taraf 35 surau dan masjid di Santubong,” katanya.

Berita Harian X