Rabu, 26 Jun 2019 | 6:33pm
AHMAD Faizal Azumu pada sidang media di Majlis Jamuan Aidilfitri Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan. - Foto Muhaizan Yahya

Isu lantikan Pengarah Pendidikan Perak selesai - MB

IPOH: Isu pelantikan Pengarah Pendidikan Perak yang tertangguh hampir tujuh bulan kini selesai selepas Kementerian Pendidikan mengesahkan Pengarah Pendidikan negeri baharu akan memulakan tugas secara rasmi Isnin ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata isu berkenaan kini selesai dan pihaknya berterima kasih kepada Kementerian Pendidikan.

“Ya, Pengarah Pendidikan Perak yang baharu sudah pun dilantik berkuatkuasa 17 Jun lalu dan Isnin ini beliau akan melaporkan diri.

“Individu berkenaan adalah Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali, 57, yang juga bekas Pengarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas,” katanya ringkas kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan. Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainal Azman Abu Seman.

Mohd Suhaimi berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang pendidikan terutama dalam perancangan pembangunan pendidikan, dasar pendidikan, pembangunan pendidikan luar bandar, penaziran pendidikan dan latihan keguruan.

Sebelum bertugas di IPG Kampus Ilmu Khas, beliau pernah bertugas sebagai guru sekolah menengah, di Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti.

Beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai ketua unit, Ketua Penolong Pengarah, Ketua Nazir Negeri, Ketua Sektor, Timbalan Ketua Nazir (memangku) dan akhirnya sebagai Pengarah Kampus Ilmu Khas bermula 2 September 2016.

Ahmad Faizal sebelum ini meminta Kementerian Pendidikan mempercepatkan urusan pelantikan Pengarah Pendidikan Perak yang tertangguh sejak tujuh bulan lalu, bagi memastikan kelancaran pengurusan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

Beliau dipetik berkata pihaknya sudah pun mengadakan perbincangan dengan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, supaya jawatan berkenaan diisi segera.

Isu pelantikan Pengarah Pendidikan Perak yang baharu sebelum ini turut mendapat perhatian beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa isu pelantikan pegawai tertinggi JPN dibuat tanpa merujuk kepada EXCO Pendidikan negeri.

Berita Harian X