Khamis, 27 Jun 2019 | 3:48pm
WARIS Orang Asli yang meninggal dunia kerana wabak demam campak bergambar selepas menerima sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) di Kampung Kuala Koh. - Foto Ramli Ibrahim
WARIS Orang Asli yang meninggal dunia kerana wabak demam campak bergambar selepas menerima sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) di Kampung Kuala Koh. - Foto Ramli Ibrahim

Keluarga mangsa demam campak terima sumbangan MAIK

GUA MUSANG: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) memberikan sumbangan wang tunai RM500 kepada setiap keluarga 15 Orang Asli suku Batek yang meninggal dunia akibat wabak demam campak di Kuala Koh, di sini.

Sumbangan kepada lapan keluarga terbabit disampaikan oleh Guru Agama MAIK, Kampung Aring 5 dan Kuala Koh, Mohd Fadzli Mahmok, hari ini.

Mohd Fadzli, berkata sumbangan itu diharap dapat mengurangkan beban keluarga mangsa, termasuk dari segi menampung perbelanjaan membeli barang keperluan.

“Kita memahami walaupun tragedi itu sudah hampir dua bulan berlalu, ada keluarga terbabit yang masih belum dapat melupakan peristiwa berkenaan.

“Malah, mereka masih dalam ‘pantang’ dan mematuhi larangan tidak bergerak bebas bagi mengelakkan wabak penyakit itu daripada menular semula,” katanya.

Sementara itu, seorang bapa mangsa, Rahim Tebu, 60, ketika ditemui mengaku MAIK sentiasa mengambil berat soal kehidupan kaum Orang Asli.

Malah, beliau berkata, urusan pengebumian jenazah 15 Orang Asli, baru-baru ini, ditanggung sepenuhnya oleh MAIK.

Selain itu, katanya, penduduk menerima dengan hati terbuka pengebumian mangsa berkenaan mengikut cara Islam.

“Hari ini, kita menerima pula sumbangan wang tunai RM500 bagi setiap keluarga yang kehilangan anak, isteri atau suami akibat wabak demam campak itu.

“Saya kehilangan dua anak akibat jangkitan wabak berkenaan, namun beransur-ansur cuba melupakan peristiwa yang amat menyedihkan dalam hidup seluruh kaum Orang Asli di Kuala Koh ini,” katanya.

Berita Harian X