Khamis, 27 Jun 2019 | 7:54pm
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. - NSTP/Malai Rosmah Tuah

Pelbagaikan produk sawit, tingkat nilai komersial komoditi

KOTA KINABALU: Kepelbagaian produk inovasi berasaskan kelapa sawit mampu meningkatkan pendapatan negeri berasaskan tanaman komoditi itu, terutama dalam mendepani ketidaktentuan harga pasarannya sejak kebelakangan ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata inisiatif itu perlu diperhalusi, termasuk kajian mengenai potensinya untuk diintegrasikan dengan sektor industri lain yang boleh menjana pendapatan kepada negeri.

“Harga pasaran kelapa sawit tidak menentu sekarang, yang ada ketikanya meningkat dan ada ketikanya menurun. Ini sudah biasa berlaku dan penting untuk kita meneliti usaha bagi mengimbangi keadaan itu melalui penghasilan pelbagai produk tambah lain berasaskannya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2019 Kumpulan Sawit Kinabalu, di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Urusan Kumpulan Sawit Kinabalu, Masri Pudin.

Shafie ketika mengulas lanjut, berkata Sawit Kinabalu juga tidak terkecuali dari kesan boikot Kesatuan Eropah (EU), namun usaha terus digembleng bagi mempelbagaikan kegunaan kelapa sawit bagi mendepani kempen itu.

“Kita sudah mengarahkan Benta Wawasan Sdn Bhd (anak syarikat Yayasan Sabah) membina kilang, seterusnya mengeluarkan minyak masak sendiri.

“Malah, kita akan melihat kegunaan lain kelapa sawit, termasuk kayu pokoknya untuk dijadikan produk perkayuan. Dari ditebang dan dibuang, kita lihat bagaimana pokok sawit boleh menjadi sesuatu yang berguna, termasuk sebagai papan lapis,” katanya.

Berita Harian X