Jumaat, 28 Jun 2019 | 8:50am
Usahawan, Shafawira Ramlee memetik cendawan tiram kelabu sebelum dipasarkan di Pejabat Pertanian Daerah Permatang Pauh. - Foto Mohd Rafi Mamat

Tinggalkan dapur tanam cendawan

PEKAN: Keputusan meninggalkan kerjaya tukang masak profesional untuk mengusahakan tanaman cendawan tiram kelabu ternyata berhasil buat Shafawira Ramlee selepas dia kini mampu menuai hasil antara 40 hingga 100 kilogram (kg) setiap hari.

Permintaan tinggi terhadap tumbuhan itu menambahkan lagi semangatnya untuk terus berusaha meningkatkan pengeluaran bagi memenuhi pasaran di daerah Kuantan dan Rompin.

Shafawira berkata, dia kini mempunyai lebih 100,000 beg cendawan ditempatkan dalam 12 rumah simpanan pelbagai saiz di kawasan Pejabat Pertanian Daerah Permatang Pauh dan Pusat Pertanian Tanah Putih, di sini.

Katanya, sokongan Pejabat Pertanian Pekan menambahkan lagi semangatnya meneruskan projek itu yang diusahakan arwah bapanya, Ramlee Awang sejak 20 tahun lalu.

“Pengeluaran hasil cendawan banyak bergantung kepada keadaan cuaca dan pengeluaran akan bertambah antara tiga hingga lima kali ganda pada musim hujan kerana kelembapan tinggi.

GAMBAR fail, usahawan cendawan Shafawira Ramlee memetik cendawan tiram kelabu yang matang di Pusat Pertanian Permatang Pauh. - Foto Mohd Rafi Mamat

GAMBAR fail, usahawan cendawan Shafawira Ramlee dan ibu tirinya, Sri Mariana Selamat bersama hasil cendawan tiram kelabu di Pusat Pertanian Permatang Pauh. - Foto Mohd Rafi Mamat

“Ketika musim panas pula, aktiviti menyiram perlu dilakukan dua kali sehari bagi mengelakkan benih dalam beg mati jika suhu dalam rumah simpanan panas,” katanya, di sini.

Beliau yang sebelum ini bertugas dengan Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP) berkata, permintaan terhadap cendawan tiram kelabu sangat menggalakkan, selain turut menjadi pilihan peniaga dan pelanggan di pasar tani serta pekan sehari.

“Setiap kilogram cendawan dijual pada harga RM12 dan saya mengutip hasil dua kali sehari dibantu lima pekerja.

“Selain menjual cendawan segar, saya juga turut membekalkan bongkah cendawan dengan harga RM2 seunit dan bongkah ini dibuat menggunakan campuran habuk kayu getah, dedak kulit gandum, kapur dan air yang mampu bertahan serta mengeluarkan hasil selama empat bulan.

“Saya juga menyediakan khidmat nasihat dan tunjuk ajar kepada individu yang berminat menceburi aktiviti tanaman cendawan yang mampu memberi pendapatan menguntungkan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pejabat Pertanian daerah, Abdul Halim Jamaludin, berkata pihaknya akan terus berusaha membantu menyediakan kemudahan diperlukan Shafawira untuk membesarkan lagi projek itu.

Berita Harian X