Isnin, 1 Julai 2019 | 12:13pm
PESURUHJAYA (SUHAKAM) Sarawak yang baharu, Dr Madeline Berma. NSTP/Aizuddin Saad

Suruhanjaya Kaum-Kaum Pribumi Sarawak perlu ditubuh

KUCHING: Idea penubuhan Suruhanjaya Kaum-Kaum Pribumi di negeri ini tidak boleh dibiarkan terkubur demi menjamin hak dan masa depan golongan berkenaan.

Penubuhannya penting bagi memastikan adanya kawalan hak penduduk pribumi dalam projek pembangunan berskala besar seperti kelapa sawit, ladang hutan, empangan hidro dan penempatan semula.

Bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) Sarawak, Francis Johen, berkata saranan penubuhan suruhanjaya terbabit diperjuangkan sejak idea itu digagaskan SUHAKAM pada 2013.

“Pesuruhjaya (SUHAKAM) Sarawak yang baharu, Dr Madeline Berma, berkata perlu konsisten memperjuangkan penubuhan Suruhanjaya Kaum-Kaum Pribumi khususnya di negeri ini kerana pihak kerajaan belum menerima cadangan yang sudah sekian lama diusulkan.

“Walaupun negara menyokong Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Kaum-Kaum Pribumi (UNDRIP) pada 2009, Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri belum melaksanakan sepenuhnya semua dasar utama UNDRIP,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Francis berkata antara kandungan penting dalam UNDRIP membabitkan perubahan dasar dan undang-undang berkaitan pribumi di negara ini.

“Ia merangkumi hak pribumi ke atas sumber, wilayah dan tanah tradisi masing-masing, termasuk hak memilih Ketua Tradisional sendiri bagi tujuan mentadbir dan mewakili kepentingan mereka,” katanya.

Katanya, berikutan ketiadaan perubahan kepada dasar dan undang-undang di negara ini, sukar bagi penduduk pribumi Malaysia melaksanakan sepenuhnya hak mereka, sekali gus menikmati perkara yang termaktub dalam UNDRIP.

Berita Harian X