Isnin, 1 Julai 2019 | 8:22pm

Selangor mulakan kempen hindari penyedut minuman plastik

SHAH ALAM: Selepas kempen bebas penggunaan bekas polisterina dan beg plastik berkuatkuasa 1 Januari 2016, Kerajaan Selangor hari ini memulakan kempen hindari penyedut minuman plastik.

Ini adalah antara usaha mengurangkan penggunaan penyedut minuman plastik, bagaimanapun penguatkuasaan larangan penggunaan bahan itu hanya akan dijalankan pada 2025.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian, berkata buat masa ini pihaknya akan menjalankan kempen mendidik pemilik restoran serta orang awam supaya menghindari penggunaan plastik sekali guna.

“Pada kempen hari ini, kita dapati masih ada pemilik restoran yang tidak tahu mengenai usaha kita ini. Justeru, kita akan berikan mereka masa untuk biasakan diri dengan amalan ini.

“Tiada penguatkuasaan dijalankan sepanjang tempoh enam tahun ini kerana kita ingin mendidik rakyat mengenai kepentingan memelihara alam sekitar dengan menghindari plastik sekali guna,” katanya pada pemberita, di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyertai kempen #BebasStrawPlastik Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Plaza Shah Alam, di sini. Turut hadir, Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Haris Kasim.

Dalam lawatan sempena kempen berkenaan, Loy Sian dan Haris menyerahkan notis peringatan hindari penggunaan penyedut minuman plastik kepada beberapa restoran di dalam pusat beli belah itu.

Loy Sian berkata sepanjang tempoh enam tahun kempen itu, pemilik restoran digesa menukar penggunaan penyedut minuman daripada plastik kepada kertas atau buluh yang boleh di kitar semula.

Katanya, dalam tempoh enam bulan, satu klausa akan dikeluarkan oleh Jabatan Pelesenan kepada pemilik restoran yang mahu memperbaharui lesen supaya turut mengadakan kempen hindari penggunaan penyedut minuman plastik.

“Sepanjang kempen ini, penyedut minuman plastik tidak akan diberikan kepada pengguna secara automatik, malah restoran dilarang menyediakan penyedut minuman plastik di kaunter, yang bebas diambil oleh pelanggan.

“Penyedut minuman plastik masih boleh diberikan atas permintaan pelanggan,” katanya.

Beliau berkata penduduk Selangor menggunakan kira-kira 100 juta penyedut minuman plastik dalam masa sebulan. Justeru, kempen berterusan perlu dilakukan bagi mengurangkan penggunaannya.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian (kanan) lancar kempen bebas penggunaan bekas polisterina dan beg plastik di Plaza Shah Alam, hari ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian X