Selasa, 2 Julai 2019 | 12:47pm
LIOW Cai Tung

Pasangan bukan Islam akan diwajib jalani kursus pra perkahwinan

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri merancang untuk mewajibkan pasangan bukan Islam menghadiri kursus pra perkahwinan dalam usaha mengurangkan kadar perceraian di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Liow Cai Tung, berkata kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) sedang membina Modul Keluarga Sejahtera bagi pasangan bukan Islam.

“Modul ini sedang dibangunkan oleh yayasan itu dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

“Dengan terhasilnya Modul Keluarga Sejahtera Johor, kita akan mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya setiap pasangan bukan Islam wajib menghadiri dan mendapatkan sijil Kursus Pra Perkahwinan,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Gan Peck Cheng (PH DAP-Penggaram) pada Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-14 di sini, hari.

Mengulas lanjut, Cai Tung berkata 9,691 kes perceraian membabitkan pasangan bukan Islam direkodkan antara 2014 sehingga tahun ini.

Katanya, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) merekodkan 1,750 kes perceraian pasangan bukan Islam pada 2014 dan meningkat kepada 1,765 kes (2015); 1,973 kes (2016); 1,749 kes (2017); 2,016 kes (2018) dan 438 kes (2019- sehingga kini).

Beliau berkata mengikut rekod Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), kadar perceraian dalam kalangan pasangan Islam di negeri ini juga agak tinggi, menduduki tempat kedua selepas Selangor bagi tahun 2015 hingga 2017.

Secara keseluruhan, kadar perceraian pasangan Islam di negeri ini bagi tempoh berkenaan adalah sebanyak 13,593 kes, berbanding Selangor (25,775 kes).

Katanya, kerajaan negeri merangka pelbagai program bagi mengatasi masalah perceraian di negeri ini dengan banyak program sedia ada dikekalkan dan rancangan pengenalan program baharu pada masa hadapan.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri melalui YPKDT kini dalam proses menubuhkan Perkhidmatan Bantuan Guaman kepada golongan wanita bermasalah, yang dijangka dilaksanakan sepenuhnya pada Oktober ini.

“Objektif penubuhan perkhidmatan ini adalah untuk membantu golongan wanita Johor yang menghadapi masalah rumah tangga dan memerlukan nasihat bantuan guaman secara profesional selain menjalin kerjasama dengan pelbagai agensi, pertubuhan bukan kerajaan dan badan guaman.

“YPKDT juga akan menyediakan talian bantuan khas bagi memudahkan masyarakat mendapatkan perkhidmatan ini.

“Perkhidmatan ini mendapat kerjasama penuh Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Jabatan Bantuan Guaman dan Jawatankuasa Peguam Negeri Johor,” katanya.

Berita Harian X