Selasa, 2 Julai 2019 | 5:20pm
Ahmad Izani (berdiri) melayani tetamu pada majlis Aidilfitri DPPMT bersama Usahanita dan Persatuan Pelancongan Terengganu di Pasarnita Tanjung. NSTP/Hanneeyzah Bariah Baharin

Pasarnita Tanjung diperkemas untuk pikat kedatangan pengunjung

KUALA TERENGGANU: Selepas dilihat kurang berjaya menarik pengunjung sejak dibuka pada 2016, konsep niaga di Pasarnita Tanjung berhampiran dengan jambatan angkat yang juga mercu tanda baharu Terengganu, akan melalui perubahan.

Yang Dipertua Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu Terengganu (DPPMT), Izani Ab Ghani, berkata pihaknya selaku pengurus Pasarnita Tanjung itu akan memperkenalkan 40 ‘pushcart kiosk’ bagi menyeragamkan dan memperkemas konsep niaga di situ.

Beliau berkata, pihaknya mensasarkan menjadikan Pasarnita Tanjung sebagai lokasi pelancongan eko sukan ikonik kerana dengan lokasi strategik berhampiran jambatan angkat dan hotel di tengah pusat bandar.

Katanya, DPPMT akan menyediakan 40 unit ‘pushcart kiosk’ untuk disewa dan beli kepada peniaga sekali gus memberikan pemandangan pusat niaga yang lebih menarik dan kemas serta mampu menarik pengunjung, selaras kedudukannya yang berhampiran jambatan ikonik itu.

“Sekarang ini kita lihat Pasarnita ini agak bercelaru dan tidak kemas kerana peniaga menggunakan peralatan niaga yang berbeza serta tidak seragam.

“Jadi dalam tempoh terdekat ini kita akan perkenalkan ‘pushcart kiosk’ dan peniaga yang mahu berniaga di sini perlu menyewa ‘pushcart kiosk’. Kita tidak mahu lagi lihat pemandangan perniagaan yang berserabut dan tidak kemas.

“Sebanyak 40 unit ‘pushcart kiosk’ akan disediakan dan 34 peniaga lot kedai yang disediakan juga akan diminta memperkemas konsep kedai mereka supaya dapat menarik minat pengunjung untuk singgah,” katanya.

Beliau berkata, selain itu DPPMT akan mengaktifkan Pasarnita Tanjung dengan program jualan termasuk ‘car boot sale’ dan jualan murah untuk menggamit pengunjung dan meningkatkan peluang niaga dan penjanaan ekonomi kepada peniaga tempatan.

Pasarnita Tanjung yang dibuka sejak November 2016 mensasarkan peniaga wanita bertujuan menjana transformasi ekonomi golongan itu di negeri ini dengan pelbagai jenis jualan antaranya makanan, kraftangan, pakaian, produk kecantikan dan cenderahati.

Berita Harian X