Rabu, 3 Julai 2019 | 3:10pm
Sebahagian penduduk Orang Asli suku Batek di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir menerima suntikan vaksin. - NSTP/Ramli Ibrahim
Sebahagian penduduk Orang Asli suku Batek di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir menerima suntikan vaksin. - NSTP/Ramli Ibrahim

230 suku Batek terima suntikan vaksin

GUA MUSANG: Seramai 230 penduduk Orang Asli suku Batek di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir, di sini, menerima suntikan vaksin bagi mengelakkan jangkitan demam campak, semalam.

Mereka adalah antara 296 penduduk kampung itu yang mengambil suntikan berkenaan kerana bimbang penularan penyakit demam campak sejak awal Mei lalu.

Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan/Terengganu, Hashim Alang Abdul Hamid, berkata Kampung Pasir Linggi itu adalah kampung Orang Asli ketiga menerima suntikan itu,

“Gerakan suntikan vaksin tertumpu di Kampung Kuala Koh dan Kampung Aring 5 membabitkan 304 penduduk, sejak Ahad lalu.

“Sehingga kini terdapat 109 penduduk di tiga kampung terbabit yang masih belum menerima suntikan vaksin kerana masalah kesihatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Penghulu Orang Asli Kampung Pasir Linggi, Ramlee Bebas, berkata biarpun penduduk kampung itu tidak dijangkiti penyakit berkenaan namun mereka sedia menerima suntikan vaksin sebagai langkah pencegahan.

“Kesediaan menerima suntikan berkenaan sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan dijangkiti penyakit itu yang merbahaya.

“Setakat ini, hanya tinggal 66 penduduk masih belum menerima suntikan itu kerana masuk ke dalam hutan dan akan berbuat demikian selepas mereka kembali ke kampung,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X