Khamis, 4 Julai 2019 | 6:02pm
Zazali (dua dari kanan) melihat lukisan mural di dinding bangunan lama di bandar Seremban. - NSTP/Mohd Amin Jalil
Zazali (dua dari kanan) melihat lukisan mural di dinding bangunan lama di bandar Seremban. - NSTP/Mohd Amin Jalil

MPS tingkat kemudahan bandar Seremban

SEREMBAN: Dua projek pelancongan yang sedang dilaksanakan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) diyakini dapat menjadikan pusat bandar ini sebagai destinasi tarikan pengunjung selain pelengkap kepada status bandar selamat.

Yang Dipertua MPS, Datuk Zazali Salehudin, berkata dua projek itu membabitkan kerja-kerja menghidup dan mencantikkan semula seni jalanan dan menaik taraf serta meningkatkan keceriaan bazar malam Benteng Walk Seremban.

Katanya, projek yang bermula sejak Mei lalu itu membabitkan kerja-kerja mengindahkan lorong belakang rumah kedai di kawasan sekitar dan berhampiran Benteng Walk Seremban, yang sebelum ini dilabelkan sebagai kawasan hitam kerana menjadi lokasi kegiatan tidak bermoral termasuk penagihan dadah.

“Berdasarkan konsep bandar selamat, semua lorong di belakang kedai ini diperindahkan dengan mewujudkan lebih banyak lukisan mural pada dinding kedai lama bagi memberi imej baharu, manakala kemudahan lampu jalan dan aspek kebersihan dipertingkatkan.

“Projek pengindahan ini akan dapat mewujudkan elemen bandar selamat di mana lorong belakang kedai tidak lagi menjadi lokasi aktiviti tidak sihat seperti penagihan dadah dan tidak bermoral dan orang ramai akan selesa untuk bersiar-siar pada waktu malam.

“Kita yakin, menerusi usaha ini akan dapat membawa perubahan bukan sahaja dari segi pemandangan di kawasan terbabit sebagai laluan awam yang lebih selamat, tetapi juga mampu mampu menarik perhatian ramai pengunjung untuk menggunakan laluan berkenaan sambil menyaksikan lukisan mural,” katanya kepada BH.

Zazali berkata, projek kedua pula ialah menambah kemudahan di Jalan Dato Abdul Rahman yang kini menempatkan Benteng Walk Seremban, bagi menjadikannya sebagai destinasi menjamu selera yang menarik dan selesa.

Katanya, projek itu dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir Oktober dan turut mendapat mendapat sokongan kerajaan negeri membabitkan peruntukan lebih RM450,000

“Selain berusaha untuk menarik perhatian ramai pengunjung tempatan dan luar berkunjung ke pusat bandar ini, kita juga berharap ia dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat.

“Saya yakin kedua-dua projek ini apabila siap kelak bakal memberi imej baharu kepada bandar Seremban khusus Benteng Walk sebagai destinasi menjamu selera yang popular dan menarik ramai penggemar makanan dari luar daerah ini,” katanya.

Dalam pada itu, Zazali berharap orang ramai terutama pemilik premis di kawasan berkenaan dapat mengambil tanggungjawab untuk bersama-sama menjaga kebersihan dan memastikan lukisan mural pada dinding tidak dirosakkan.

Berita Harian X