Jumaat, 5 Julai 2019 | 2:07pm
Orang Asli di Kampung Aring 5 mendaftarkan sijil kelahiran anak mereka dalam program yang dianjurkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara. - NSTP/Ramli Ibrahim

20 kanak-kanak Orang Asli Batek dapat sijil kelahiran

GUA MUSANG: Lebih 20 kanak-kanak Orang Asli suku Batek di Kampung Aring 5, di sini, berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Kelantan untuk mendapatkan sijil lahir, semalam.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Orang Asli, Kampung Aring 5, Rama Batu berkata, pendaftaran sijil lahir itu dibuat bagi membolehkan kanak-kanak Orang Asli yang tercicir pelajaran untuk bersekolah.

Katanya, kanak-kanak tidak ada sijil lahir kerana disebabkan ibu mereka bersalin bersendirian di rumah dan belum daftar di pejabat JPN.

“Disebabkan masalah tiada sijil lahir, ibu bapa kaum itu gagal menghantar anak mereka ke sekolah termasuk kelas khas yang baru dibuka di kampung berkenaan.

“Saya lihat program yang dibuat JPN mendapat sambutan dan dianggarkan lebih 20 kanak-kanak Orang Asli membuat pendaftaran,” katanya.

Terdahulu, JPN menganjurkan Program Menyemai Kasih Rakyat untuk mendaftar sijil kelahiran dalam kalangan masyarakat Orang Asli suku Batek di Kampung Aring 5, di sini.

Seorang bapa, Sharip Mamok, 43, berkata, memang sudah lama penduduk kampung itu menunggu jabatan terbabit untuk mendaftar sijil kelahiran anak-anak mereka.

Katanya, ketiadaan sijil lahir menimbulkan kesulitan bagi pendaftaran persekolahan dan juga untuk rawatan kesihatan.

“Kita rasa lega apabila pegawai JPN datang ke kampung ini untuk melakukan pendaftaran sijil kelahiran dan kita anggap masalah itu selesai,” katanya.

Berita Harian X