Ahad, 7 Julai 2019 | 10:16am
ENAM murid SK Mutiara menunjukkan pingat mereka menangi dalam pertandingan Dance World Cup Finals 2019 bagi kategori Children Small Group National and Folklore di Braga Portugal pada 30 Jun lalu, di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Kota Kinabalu Antarabangsa. NSTP/Edmund Samunting.

Tarian 'Ragon' bawa pulang emas

KOTA KINABALU: Enam murid yang menjadi johan dalam pertandingan Dance World Cup Finals 2019 disambut meriah di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), semalam.

Enam murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Mutiara itu memenangi kategori ‘Children Small Group National and Folklore’ di Braga, Portugal yang berlangsung pada 30 Jun lalu.

Peserta, Saidatul Amirah Athirah Muhammad Syazwan, 11, berkata ia adalah pengalaman paling tidak dapat dilupakan kerana bukan saja berjaya menjejak kaki ke Portugal tetapi turut dinobatkan sebagai juara dalam pertandingan yang mereka sertai di peringkat antarabangsa.

“Kami menangis kegembiraan apabila diumumkan sebagai pemenang dan bersyukur kerana mendapat piala itu sekali gus menjadikan kami sebagai juara dunia.

“Kami buat latihan dengan bersungguh-sungguh dan kami mahu ke sana (Portugal) untuk menang saja,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.

Mengulas lanjut tarian yang dipersembahkan, mereka membawa tarian etnik Murut untuk dipertandingkan dalam kategori yang disertai.

“Pertandingan ini disertai enam penari lelaki dan perempuan dengan membawa tarian etnik Murut dan menggunakan latar bambu. Manakala tajuk tarian yang kami persembahkan adalah ‘Ragon’ yang mengisahkan manusia berkawan dengan bambu.

“Tarian kami yang kreatif, selain seragam dan ekspresi emosi sepanjang tarian dipersembahkan mungkin memikat hati juri sekali gus berjaya merangkul emas dalam pertandingan ini,” katanya.

Bagi Mohamad Firdaus Shalim, 12, persediaan selama sebulan untuk berlatih dalam tarian etnik itu membawa kepada kemenangan bagi sekolah mereka dalam pertandingan peringkat antarabangsa itu.

“Bagi saya, ini adalah pencapaian yang membanggakan bukan saja di peringkat sekolah tetapi juga untuk Malaysia kerana kami mewakili negara dalam pertandingan ini.

“Banyak manfaat saya peroleh sepanjang menyertai pertandingan ini kerana kami bukan saja berjaya merangkul hadiah utama dalam kategori yang disertai tetapi secara tidak langsung dapat mempelajari budaya dan sejarah negara Portugal,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar SK Mutiara, Budhi Rahmad Suparno yang turut menyertai rombongan itu, berkata pelbagai cabaran mereka hadapi sepanjang 13 hari perjalanan untuk menyertai pertandingan itu Portugal.

“Antaranya, kami terpaksa melalui tempoh perjalanan yang panjang iaitu mengambil masa selama 19 jam dengan melalui lima negara untuk pulang dari Portugal berikutan kos perjalanan yang mahal bagi semua yang terbabit.

“Selain itu, kami juga berdepan dengan masalah pertukaran cuaca ketika di Portugal kerana walaupun ketika ini adalah musim panas tetapi suhu antara 17 hingga 18 darjah Celcius menyebabkan kanak-kanak sukar menghadapinya.

“Selain itu, peserta juga terpaksa menjalani latihan di luar seperti di taman terbuka kerana tempat yang terhad untuk berlatih tetapi dalam masa sama ia juga memupuk keyakinan diri mereka sendiri untuk tampil dalam pertandingan itu nanti di hadapan penonton,” katanya.

Katanya lagi, cabaran yang mereka hadapi itu berbaloi apabila diumumkan sebagai pemenang dan tidak menyangka mereka berjaya meraih pingat emas dalam pertandingan itu.

Selain Saidatul Amirah dan Mohamad Firdaus, empat lagi murid turut serta dalam pertandingan itu adalah Raihana Joanne Mikwandi,12, Muhammad Adlan Izzuddin Tassakka, 12, Christavell Angle Clement, 11 dan Jyson Alfinus Jopius, 11.

Berita Harian X