Ahad, 7 Julai 2019 | 3:06pm

Taman Botani Shah Alam dibuka semula

SHAH ALAM: Taman Botani Negara Shah Alam (TBNSA) kembali dibuka kepada orang awam selepas hampir empat bulan ditutup berikutan kerosakan teruk selepas dilanda ribut Mac lalu.

Bagaimanapun, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salehhuddin Hassan, berkata hanya Laluan A yang dibuka untuk dikunjungi.

“Ribut yang melanda pada 10 Mac lalu menyebabkan hampir 40 peratus kawasan taman termasuk fasiliti terjejas justeru kita mengambil masa untuk membuka kembali kepada pengunjung.

“Bagaimanapun, hanya Laluan A yang dibuka buat masa ini manakala laluan B dan C masih dalam proses pembersihan dan pemulihan,” katanya pada sidang media pembukaan semula dan aktiviti Fun Run TBNSA di sini, hari ini.

Turut hadir adalah Pengarah TBNSA, Ismail Muhamed.

Salehuddin berkata, taman berkenaan terpaksa dibuka lebih awal walaupun kerja pembersihan dan pemulihan belum selesai sepenuhnya kerana ia mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengunjung sekitar Lembah Klang.

Katanya, TBNSA menjadi tarikan untuk aktiviti riadah kerana tidak banyak taman semulajadi sepertinya di sekitar Lembah Klang.

“Antara tarikan utama taman ini adalah rumah empat musim dan ia juga turut terjejas semasa kejadian ribut itu bagaimanapun kita akan memastikan ia boleh dibuka kepada pengunjung pada Disember ini untuk musim sejuk,” katanya.

Beliau berkata, laluan A dibuka terlebih dahulu kerana ia adalah laluan tarikan untuk aktiviti riadah keluarga seperti taman rempah ratus serta laman padi manakala laluan B dan C pula adalah laluan mencabar yang menjadi pilihan penunggang basikal.

“Pembersihan sudah hampir siap di dua laluan B dan C tetapi kita masih belum mengeluarkan pokok yang tumbang. Selain itu, kita juga akan menanam semula pokok hutan yang tumbang dan mungkin meminta Jabatan Perhutanan untuk menyediakan pokok-pokok dari spesis yang unik,” katanya.

Sementara itu, Salehuddin berkata, pada tahun lalu, kira-kira 38,000 pelawat berkunjung ke taman itu.

Sallehuddin (tengah) menanam pokok beruas pada Program Taman Botani Negara Shah Alam (TBNSA) Fun Run 2019 di Taman Botani Negara Shah Alam. - NSTP/Faiz Anuar
Berita Harian X