Ahad, 7 Julai 2019 | 3:34pm
Jamalluddin dan Zaiton teruja menjejakkan kaki ke bumi Makkah, apabila menerima surat tawaran daripada Tabung Haji untuk menunaikan haji tahun ini. - NSTP/Mohd Amin Jalil

Jual rumah tampung kos tunai haji

SEREMBAN: Berstatus sebagai orang kurang upaya (OKU) tidak mematahkan semangat buat Jamalluddin Ahmad, 51, untuk menunaikan haji di Tanah Suci Makkah tahun ini.

Sebaliknya, beliau bersama isteri, Zaiton Ab Majid, 53, rasa begitu teruja untuk berangkat bagi menunaikan Rukun Islam kelima itu.

“Kami sangat teruja dan tidak sabar untuk menjejakkan kaki ke bumi Makkah, apabila menerima surat tawaran daripada Tabung Haji (TH) untuk menunaikan haji tahun ini.

“Kami dijadualkan bertolak ke Tanah Suci melalui penerbangan KT20 pada 13 Julai ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di Taman Sri Mawar Senawang, hari ini.

Beliau yang juga pesara tentera, pada asalnya hanya bercadang untuk menunaikan umrah tahun ini selepas menunggu lama giliran untuk pergi menunaikan haji.

“Saya mendaftar diri dengan TH untuk pergi menunaikan haji pada 2008 dan selepas agak lama nama tidak tersenarai untuk pergi ke Tanah Suci, saya dan isteri sepakat untuk pergi menunaikan umrah tahun ini.

“Bagaimanapun, pada awal tahun ini, saya pergi ke pejabat cawangan TH di Ampangan untuk membuat semakan dan kakitangan di situ menyatakan nama saya mungkin antara yang tersenarai bagi menunaikan haji tahun ini.

“Pada hujung Januari lalu, saya pergi ke ibu pejabat TH di Kuala Lumpur untuk membuat semakan seterusnya dan tidak menyangka ketika itu saya menerima surat tawaran menunaikan haji.

“Saya menangis ketika menerima surat itu kerana terlalu gembira,” katanya.

Jamalluddin berkata, walaupun mendapat tawaran, ketika itu wang simpanannya di TH belum mencukupi dan beliau diberi tempoh sebulan oleh TH bagi mencukupkannya.

“Saya terpaksa meminjam dengan ahli keluarga sebanyak RM9,000 bagi mencukupkan wang berkenaan.

“Bagaimanapun, pinjaman itu saya selesaikan selepas menjual sebuah rumah berharga RM160,000 kepada anak dan sebahagian wang itu juga saya gunakan untuk ke Makkah,” katanya.

Bapa kepada lima anak itu berkata, beliau dan isteri kini sedang membuat persiapan terakhir sebelum berangkat ke Tanah Suci dan amat mengharapkan mendapat haji mabrur selain mahu berdoa supaya kesihatannya pulih.

“Pada 2015, saya terbabit dalam kemalangan jalan raya di Jalan Senawang-Paroi, mengakibatkan saya patah tangan kiri serta cedera di kepala.

“Selain mengalami masalah kencing manis yang serius sejak 20 tahun lalu hingga tahap penglihatan menjadi kabur, pada awal tahun ini pula saya disahkan oleh doktor mengalami masalah buah pinggang tahap empat,” katanya.

Beliau berkata, walaupun mungkin masalah itu akan mengganggu urusan ibadat haji yang bakal dilaluinya nanti, semuanya tidak membuatkan beliau patah semangat.

Berita Harian X